Skip to main content

Ahmad Faizal terima perkhabaran positif daripada Zii Jia selepas menerima 'restu' bergerak secara profesional

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Jan - Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menerima perkhabaran positif daripada pemain perseorangan negara Lee Zii Jia hari ini selepas pemain itu mengakui menerima 'restu' daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk bergerak secara profesional.

 

Beliau menerusi satu ciapan di laman twitter berkata, dia seolah-olah menerima perkhabaran itu seperti daripada anaknya sendiri.

 

"Saya menerima panggilan daripada Lee Zii Jia, seperti menerima panggilan daripada anak sendiri.

 

"Dia kedengaran sangat positif dan dia membuatkan saya sangat gembira. Gong Xi Fa Cai, dude!! Jadi anak yang baik kepada ibu bapa awak!," katanya.

 

Zii Jia menerusi satu hantara di Facebook berkata, kemelut di antaranya dan BAM berjaya diselesaikan selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, hari ini.

 

Dalam pertemuan itu katanya, permasalahan yang melanda dirinya sudah berakhir selepas menerima restu daripada Mohamad Norza untuk meneruskan karier selaku pemain profesional.

 

peja

 

“Pencapaian masa lalu dan masa akan datang saya akan sentiasa menjadi produk Tan Sri Norza, BAM dan Malaysia.

 

“Saya bersyukur kerana Tan Sri membimbing, mengasuh dan memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat kepada negara yang dicintai,” katanya.

 

Mengulas lanjut, Zii Jia berkata, walaupun bakal bergerak secara profesional, beliau tetap komited untuk Kejohanan Berpasukan Asia yang akan menjadi platform kepada Malaysia dalam mencari tempat ke aksi Piala Thomas.

 

Beliau berharap keputusan dan kesimpulan itu akan menyatukan semua peminat badminton dan rakyat Malaysia.

 

“Teruskan menyokong BAM dan juga pemain profesional negara yang turut diasuh oleh BAM kerana akhirnya kita adalah satu,” katanya. - DagangNews.com