INI FORMULA PEMBAHAGIAN HARTA UNTK SUAMI BERPOLIGAMI:
INI adalah penulisan saya yang ke-101 di dalam kolum Anekdot Mawarith portal Dagang News.
Sebelum ini hampir 3 bulan saya berhenti sebentar dari menulis di Dagang News kerana kekangan dan hambatan masa dan tanggungjawab.
Tetapi bila sudah terbiasa menulis dan tiba-tiba berhenti, rindu pula rasanya untuk terus menghasilkan penulisan berkala tambahan pula ada isu viral hangat yang saya diminta untuk ulas.
Terima kasih saya ucapkan kepada Pengarang, Johardy Ibrahim kerana masih sudi memberi peluang saya berkongsi serba sedikit pengalaman dan pengetahuan di sini.
Dalam penulisan kali ini saya nak ulas tajuk di atas sebab isu poligami ini viral kembali dengan kes selebriti yang bernikah sembunyi-sembunyi di sempadan baru-baru ini.
Tajuk poligami ini sebenarnya banyak telah diulas oleh pelbagai pihak bertahun-tahun lamanya.
Saya juga ada mengulas isu ini beberapa kali dalam penulisan saya sebelum ini di Anekdot Mawarith.
Dari pengalaman 25 tahun saya terlibat dalam urusan harta dan pusaka orang Islam semenjak 1998, memang suami yang berpoligami ini paling susah nak buat keputusan berkaitan pembahagian harta.
Antara sebabnya ialah mereka tidak menjumpai formula untuk menjustifikasi ‘adil’ apabila ingin membahagikan harta kepada isteri-isterinya. Apa pun yang dibuatnya, pasti akan ada isteri yang tidak berpuas hati.
Jadi apabila si suami meninggal dunia, harta pusaka yang ditinggalkan tidak kiralah sedikit atau banyak memang akan mencetuskan pelbagai masalah.
Setakat 25 tahun pengalaman saya, tidak pernah saya bertemu kes si mati berpoligami harta pusakanya dapat dikompromikan dengan mudah di antara isteri-isterinya.
Biasa memang kena lalu perang dahulu baru selesai. Dah selesai pun masih ada yang bersuara dan berbisik tak puas hati di belakang.
Bab perasaan dan emosi saya tidak mahu sentuh terlalu panjang lebar dalam penulisan kali ini kerana ia sangat subjektif dan luas.
Insya-Allah saya akan ulas dan kongsi pengalaman berdepan dengan golongan ini dalam penulisan yang akan datang.
Apa yang menarik minat saya ialah isu harta dalam poligami. Perlu saya ingatkan bahawa hak semua isteri ke atas harta pusaka si suami adalah sama banyak tanpa mengira isteri yang senior atau isteri yang junior.
Jika ada dua orang isteri dan si suami ada anak kandung, maka setiap isteri itu berhak hanya 1/16 bahagian setiap seorang.
Jika ada tiga orang isteri, bahagiannya ialah 1/24 manakala jika ada empat orang isteri, setiap seorang hanya berhak kepada 1/32 bahagian setiap seorang.
Jadi bagaimana si suami ingin berlaku adil kepada semua isterinya? Adakah dengan membahagikan hartanya sama rata kepada semua isteri itu dianggap ‘adil’? Ramai suami berpoligami gagal faham aspek ini.
Mereka masuk ke alam poligami tanpa ilmu, tidak faham hal hukum, undang-undang dan kesan psiko sosial kepada keluarga. Kawan-kawan yang nikah di sempadan itu yang dijadikan panduan maka ke lautlah jawabnya.
Sudahnya rumahtangga sedia ada dan yang baru dibina kelam-kabut dan perang setiap hari.
Akhirnya poligami itu yang nampak buruk sedangkan hakikat sebenar, si pelaku itu yang gagal faham.
Jawapan saya, suami silalah berlaku adil dengan meletakkan keutamaan kepada tempatnya yang sesuai. Bagi isteri pertama yang telah berkorban jiwa dan raga sepanjang berpuluh tahun perkahwinan, berilah pengiktirafan yang sewajarnya supaya dia merasa tenang.
Hibahkanlah rumah keluarga di mana dia menginap sekarang kepadanya. Jadi apabila suami meninggal dunia, rumah yang membawa pelbagai nostalgia susah senang itu telah pun menjadi miliknya dan tidak perlu diagihkan bersama isteri kedua dan anak isteri kedua.
Hibahkan juga kepadanya wang tunai pada kadar yang bersesuaian untuk dia meneruskan kehidupan dengan selesa walaupun tanpa suami di sisinya kelak.
Anak-anak kepada isteri pertama akan merasa lega dan gembira (walaupun terguris perasaan apabila mengetahui ayah mereka telah berkahwin lagi), apabila melihat kebajikan ibu mereka dijaga dengan baik oleh ayah.
Untuk isteri kedua yang masih muda dan ada anak kecil bersama suami, hibahkanlah apartmen itu kepada isteri kedua.
Sekurang-kurangnya isteri kedua ada tempat untuk berteduh milik penuhnya apabila suami meninggal dunia kelak. Tidaklah perlu apartmen itu dikongsikan dengan isteri pertama dan anak-anaknya.
Suami sila hibahkan juga tunai yang mencukupi kepada isteri kedua untuk dia meneruskan kehidupan di samping membesarkan anak kecil kita sehinggalah ke tahap anak itu tamat pengajian dan mampu berdikari.
Apabila isteri-isteri telah dihibahkan harta yang mencukupi oleh suaminya, kuranglah risiko untuk berlaku perbalahan berkaitan harta pusaka selepas suami mati.
Saya tulis di sini ‘kuranglah risiko’ bukannya ‘tiada risiko langsung’ ya. Maksud saya harta pusaka tetap akan bermasalah tetapi pada intensiti yang kurang berbanding dengan intensiti sekiranya si suami tidak membuat apa-apa hibah langsung semasa hidupnya.
Ini realiti kes yang saya jumpa semenjak 25 tahun di dalam industri ini.
Selepas saya bercerita tentang formula pembahagian ini, ada pula suami berpoligami yang cakap dengan saya, “Peninglah nak fikir formula pembahagian ni serabut!”.
Jawapan saya, dah hang gatal-gatal kahwin isteri kedua apa pasal? Dah elok hidup tenang-tenang dengan isteri pertama dan anak-anak yang sudah dewasa, pilih pula untuk kahwin lagi dengan isteri muda dan sekarang tanggunglah pelbagai masalah. Sanggup berpoligami, kenalah sanggup juga untuk bertanggungjawab!
“Dari aku buat maksiat baik aku nikah” Ini pula jawapan yang saya biasa dengar dari suami yang cuba menjustifikasi tindakannya.
“Ha... dah nikah bertanggungjawablah”, ini pula jawapan saya sambil berlalu pergi.