PUTRAJAYA 23 Julai - Sejak 12 Julai 2021, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) berjaya merekodkan pemberian dos harian sebanyak lebih 400,000 dos hampir setiap hari, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Alhamdulillah semalam, kita telah berjaya mencapai kadar vaksinasi harian tertinggi setakat ini iaitu *507,050* dos. Ini menjadikan jumlah individu yang telah menerima dos pertama sehingga semalam ialah *10,920,862* dan sejumlah *5,104,054* individu telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.
"Sukacita saya juga ingin mengumumkan bahawa seramai 46.7% daripada populasi dewasa di Malaysia telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos dan seramai 21.8% pula telah mendapat dos yang penuh," katanya dalam kenyataan menerusi Facebook rasmi beliau pagi ini.
Perdana Menteri berkata, pencapaian ini selari dengan sasaran yang ditetapkan dan sudah semestinya perlu dipertingkatkan lagi supaya sasaran 26 juta penduduk Malaysia menerima vaksinasi lengkap berjaya dicapai.
"Dengan vaksinasi, kita akan dapat membantu mengurangkan beban kes di hospital dan mengurangkan kes-kes jangkitan yang teruk, seterusnya melancarkan usaha menjayakan Pelan Pemulihan Negara, insya-Allah.
"Terima kasih dan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan terhadap Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, terutamanya kepada petugas-petugas barisan hadapan dan sukarelawan PPV yang membantu melancarkan pelaksanaan program ini," kata beliau. - DagangNews.com