17 kakitangan Top Glove positif COVID-19 sejak Januari 2020 | DagangNews Skip to main content

17 kakitangan Top Glove positif COVID-19 sejak Januari 2020

COVID-19

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 5 Nov. - Syarikat pengeluar sarung tangan terkenal, Top Glove Corporation Bhd. (Top Glove) mengesahkan seramai 17 kakitangannya positif COVID-19 sejak bulan Januari 2020.

Top Glove dalam satu kenyataan berkata, jumlah tersebut adalah kurang daripada 0.1% daripada 21,000 keseluruhan jumlah tenaga kerja kumpulan.

Jelas Top Glove, kakitangan yang terlibat bagaimanapun tidak menunjukkan simptom wabak seperti demam.

"Kesemua mereka diasingkan selepas menjalani ujian saringan pada 2 November 2020 (Isnin), dan mereka telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan setelah keputusan saringan kembali positif.

"Aktiviti pembersihan dan sanitasi menyeluruh di kilang, tempat tinggal dan kenderaan syarikat telah dilakukan mengikut panduan Kementerian Kesihatan," jelas Top Glove.

Mengulas lanjut, Top Glove memberitahu, penjejakan kenalan dan kakitangan yang berhubung rapat dengan pekerja yang positif itu telah disaring dan dikuarantin di rumah sementara menunggu keputusan.

Ujar Top Glove, perkara tersebut bagaimanapun tidak memberi kesan kepada pengoperasian syarikat.

"Kami ingin menekankan lagi bahawa keselamatan dan kesejahteraan pekerja dan rakan kongsi adalah sangat penting bagi kami.

"Kami telah melakukan pelbagai SOP untuk membantu membendung penyebaran virus ini termasuk pendaftaran pekerja dan pelawat serta pemeriksaan suhu sebelum dibenarkan memasuki premis Top Glove, pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan penyediaan pensanitasi tangan di pelbagai lokasi," jelas Top Glove lagi. - DagangNews.com