180 karya seni COVID-19 dipamer di Beijing | DagangNews Skip to main content

180 karya seni COVID-19 dipamer di Beijing

Pameran COVID-19. Gambar oleh CNN

BEIJING 17 Ogos - Sebanyak 180 hasil karya seni berkaitan COVID-19 dipamerkan di Muzium Nasional berhampiran Tiannamen Square bermula bulan ini.

Pameran tersebut adalah sebagai simbolik dan tanda semangat masyarakat Cina dalam melawan pandemik tersebut.

Koleksi seni yang dipamerkan adalah termasuk patung, seni kaligrafi, ukiran, cetakan kayu, lukisan cat dan minyak dramatik yang diterjemah kepada lukisan barisan perubatan seperti doktor.

Pameran COVID-19. Gambar oleh CNN

Menurut laporan CNN, pameran tersebut juga bertujuan sebagai proses dokumentasi dan memperingati wabak COVID-19 yang mula menyerang Wuhan.

Karya seni yang dipamerkan turut berkait rapat dengan perjalanan kerajaan China sebagai sebuah negara utama yang terlibat dalam tindakan menangani wabak.

Dengan tajuk "Unity is Strength", pengunjung akan disediakan dengan tiga bahagian pameran iaitu karya seniman terkenal, seniman kaligrafi, dan karya seniman amatur dari serata negara.

Pameran COVID-19. Gambar oleh CNN

Antara tema yang diangkat dalam pameran tersebut adalah termasuk penceritaan berkaitan pembukaan semula pekerjaan serta bantuan perubatan luar negara.

Tema tersebut disajikan sebagai tanda kejayaan kepada pihak kerajaan ketika negara tersebut pulih daripada sekatan dan penutupan yang memberi kesan teruk kepada China awal tahun ini.

Pameran COVID-19. Gambar oleh CNN

Menurut Ketua Persatuan Seniman China, Xu Li, kandungan pameran yang dijalankan itu cukup jelas dan sesuai dengan visi Presiden Xi Jinping yang menekankan kepentingan seni dan sastera sebagai medium untuk membimbing masyarakat mengenali sejarah, bangsa dan budaya dengan cara yang betul.

Perkara tersebut juga digunakan dalam ucapan Li semasa majlis perasmian pembukaan pameran bertemakan COVID-19.

"Karya seni itu dapat menyatukan masyarakat dan dapat membuka kekuatan rohani yang baharu dan bersemangat," katanya. - DagangNews.com