Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 16 Nov. - MIDF Research dan CGS-CIMB Research masing-masing membuat saranan berbeza iaitu 'beli' dan 'tambah' saham syarikat pemaju hartanah, SP Setia Bhd. (SP Setia).
MIDF Research berkata, saranan 'beli' dibuat setelah menilai kepada prestasi prospek penjualan syarikat berkenaan yang stabil untuk mencapai sasaran.
"Kami menyemak semula ramalan pendapatan (SP Setia) bagi tahun kewangan 2020/2021 sebanyak -22.5%/-3% dengan mengambil kira kos penjualan yang lebih tinggi.
"Kami mengekalkan saranan 'beli' saham SP Setia kerana penilaiannya yang menarik kerana diperdagangkan dengan potongan harga 79% kepada aset bersih sesaham (NTA) sebanyak RM3.41.
"Selain itu, prospek penjualan SP Setia stabil dan berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran penjualannya," jelas MIDF Research hari ini.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2020 (9M20), SP Setia melaporkan kerugian bersih berjumlah RM33 juta berbanding jumlah keuntungan bersih sebanyak RM59 juta pada sama tahun sebelumnya.
Pendapatan dalam tempoh berkenaan turun sebanyak 33% yang diheret oleh hasil yang rendah daripada unit pembangunan hartanah yang terganggu akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada suku kedua 2020.
Bagaimanapun, pendapatan bagi suku ketiga 2020 meningkat dua kali ganda apabila aktiviti pembinaan kembali beroperasi pada pasca PKP.
Sementara itu, CGS-CIMB Research pula memutuskan untuk mengekalkan saranan 'tambah' saham SP Setia.
Jelas nota kajian itu, jangkaan perolehan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2020-2022 SP Setia turut dikurangkan sebanyak 3% hingga 36% selepas mengambil kira jangkaan penurunan bil dan kos overhead yang lebih tinggi.
"Kami tidak mengubah harga sasaran sesaham (TP) SP Setia sebanyak RM0.94.
"Kami melihat penurunan yang terhad pada harga sahamnya kerana stok telah diperdagangkan dengan penilaian yang rendah iaitu <0.3x P/BV sejak 2001," jelas CGS-CIMB Research. - DagangNews.com