2 perkara 'noktahkan' krisis Air Selangor - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

2 perkara 'noktahkan' krisis Air Selangor - Penganalisis

gangguan bekalan Air Selangor

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 11 Nov. - Kerajaan Negeri Selangor perlu bertanggungjawab terhadap isu gangguan bekalan air tidak berjadual yang membelenggu penduduk sepanjang tahun 2020.

Penganalisis bidang ekonomi dan pelaburan, Pankaj Kumar berkata, masalah kekeringan air melibatkan berjuta-juta akaun pengguna telah berulang kali terjadi.

Sepanjang tahun 2020, gangguan bekalan air berlaku sebanyak sembilan kali daripada 11 bulan sekali gus menambah penderitaan orang ramai di Selangor dan Kuala Lumpur yang sememangnya terkesan akibat krisis COVID-19.

Tegasnya, Selangor perlu melakukan dua perkara penting untuk mengakhiri gangguan bekalan air iaitu dengan meningkatkan tahap penguatkuasaan dan pelaburan infrastruktur. 

Katanya, masalah air mampu diselesaikan sekiranya kedua-dua perkara tersebut dijalankan dengan berkesan.

"Ini adalah krisis nasional dan Kerajaan Negeri Selangor mesti bekerjasama dengan semua pihak termasuk kerajaan persekutuan dan agensi penguatkuasaan undang-undang untuk meningkatkan usaha penguatkuasaan.

"Amat mengejutkan apabila Selangor sendiri mempunyai kira-kira 5,589 buah kilang haram dengan 869 atau 15.5% daripadanya terletak berhampiran dengan sungai.

"Mengendalikan kilang tidak semudah mendirikan gerai di tepi jalan kerana banyak lesan, keizinan dan kelulusan yang perlu diperoleh. Jelas, pencegahan serius, segera dan meluas sangat diperlukan untuk membanteras kilang haram itu," tegas Pankaj dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pankaj Kumar
Pankaj Kumar

 

Semalam, Air Selangor memaklumkan tujuh wilayah di Selangor dan Kuala Lumpur sekali lagi mengalami gangguan bekalan air yang berpunca daripada pencemaran bau seakan pelarut di Sungai Selangor.

Susulan itu, empat Loji Rawatan Air (LRA) dihenti tugas yang menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1,139,008 akaun, merangkumi 1,279 kawasan di  wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Mengulas berkaitan aspek pelaburan infrastruktur, Pankaj memberitahu, Air Selangor kini mencapai tahap simpanan margin sebanyak 11% dan berharap agar dapat ditingkatkan dengan pengoperasian penuh loji rawatan air Langat 2.

"Selain bekalan yang lebih besar, Air Selangor juga perlu melabur dalam aspek penyelenggaraan dan penggantian pair air.

"Walaupun air tidak terhasil (NRW) pada saat ini berada di bawah 30%, Air Selangor mesti menunjukkan keterdesakan yang lebih besar dalam aspek penggantian paip untuk membawa tahap NRW jauh di bawah 20%," katanya lagi.

Gangguan bekalan air berterusan akan memberi kesan buruk kepada fokus kerajaan untuk menghidupkan kembali ekonomi dan menjana semula pekerjaan serta pendapatan di tengah-tengah krisis COVID-19.

Jelasnya, oleh kerana krisis air turut menjadi masalah nasional, mungkin sudah tiba masanya isu berkenaan turut disiasat oleh kerajaan persekutuan bagi menyelesaikan masalah yang serius itu.

"Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang neutral boleh menjadi platform yang tepat dan diperlukan untuk mengenal pasti punca dan tindakan pemulihan yang bertepatan agar rakyat Malaysia 'tidak ditinggalkan kekeringan' berulang-ulang kali," tambahnya lagi. - DagangNews.com