20 usahawan asnaf sertai Program Pemerkasaan Usahawan SIRIM-LZS | DagangNews Skip to main content

20 usahawan asnaf sertai Program Pemerkasaan Usahawan SIRIM-LZS

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 16 Dis - Seramai 20 usahawan asnaf berjaya menamatkan Program Pemerkasaan Usahawan dan Transformasi Pembangunan Inovatif untuk Usahawan Asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi membantu meningkatkan taraf hidup mereka. 

 

Program itu merupakan kerjasama antara LZS dan SIRIM Berhad yang bertujuan meningkatkan tahap pembungkusan serta pelabelan usahawan asnaf selaras trend terkini bagi membolehkan perniagaan mereka menembusi pasaran baharu selain terus berkembang maju.

 

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad berkata, pihaknya membantu LZS membangunkan dan memperkasakan usahawan asnaf Selangor melalui transformasi pembungkusan inovatif bagi membolehkan produk mereka menjadi lebih menarik untuk dipasarkan.

 

“Produk yang berdaya saing akan memudahkan penembusan ke pasaran baharu dan dapat membantu meningkatkan ekonomi serta taraf hidup usahawan asnaf sehingga berjaya keluar daripada golongan penerima kepada golongan pemberi zakat.

 

“Kesemua 20 orang usahawan asnaf bagi tahun 2020 dan 2021 telah dipilih untuk menyertai program ini dengan penyertaan mereka dibiayai sepenuhnya LZS," katanya dalam satu kenyataan selepas graduasi program berkenaan di ibu pejabat SIRIM, hari ini. 

 

Usahawan yang terpilih adalah daripada pengusaha produk makanan seperti pes ayam madu, apam puteri ayu dan karipap sejuk beku, rempeyek berempah, kuih peneram, bahulu gulung, tat coklat, pes serbaguna, kacang berempah, tepung serbaguna, pekasam, tart nanas, biskut coklat, biskut emping jagung, sambal tumis bilis, sambal bilis garing, kerepek pisang dan kuih lidah buaya

 

Program itu bermula dengan proses pemilihan usahawan; perundingan dan pemilihan produk; khidmat nasihat penjenamaan dan kualiti produk; pembangunan reka bentuk pembungkusan; perkhidmatan pembangunan jenama sehingga proses audit impak keberkesanan program yang dilaksanakan sekurang-kurangnya tiga bulan selepas program tamat. 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan M. Yusop berkata, berdasarkan audit pemantauan jualan dan premis yang dijalankan ke atas usahawan asnaf untuk tahun lalu, terdapat peningkatan jualan secara purata sebanyak 50% selepas menggunakan pembungkusan baru. 

 

“Zakat Selangor sentiasa memberikan penekanan kepada aspek pembangunan ekonomi kepada usahawan asnaf. 

 

"Menjadi keutamaan kami untuk memastikan inisiatif pembangunan ekonomi ini mampu memperkasakan keupayaan serta memacu kecemerlangan usahawan asnaf sehingga mampu berdikari dan menjadi pembayar zakat,” katanya. - DagangNews.com