2020 : Pemandu dan peniaga raih pendapatan AS$7.1 bilion menerusi Grab | DagangNews Skip to main content

2020 : Pemandu dan peniaga raih pendapatan AS$7.1 bilion menerusi Grab

 

 

KUALA LUMPUR 22 Jun - Di sebalik pandemik COVID-19, rakan pemandu dan peniaga meraih pendapatan berjumlah AS$7.1 bilion menerusi platform Grab pada 2020.

 

Dalam laporan tahunan Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus Korporat (ESG) Grab yang diterbitkan kali pertama itu mendedahkan platform itu telah membuka peluang pekerjaan kepada lebih 370,000 orang sekali gus berupaya mengurangkan kesan daripada krisis wabak tersebut.

 

Laporan itu turut memetik kaji selidik di peringkat serantau yang dijalankan NielsenIQ15 pada April lalu membabitkan 5,071 pemandu Grab. 

 

Didapati, 46% daripada responden berkata mereka tidak bekerja sebelum menyertai platform Grab manakala 61% bersetuju yang mereka boleh memperoleh pendapatan tinggi dengan menyertai aplikasi berkenaan. 

 

 

Sumber : Grab
Sumber : Laporan tahunan Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus Korporat (ESG) Grab

 

 

Presiden Grab, Ming Maa berkata, mereka menyasarkan untuk menerusikan misi syarikat dalam memacu rantau Asia Tenggara ke hadapan dengan mewujudkan lebih banyak pemerkasaan ekonomi untuk semua orang.

 

Ini kerana katanya, rantau ini dilihat begitu pesat membangun dan wilayahnya juga pelbagai.

 

"Sehubungan itu, kami melihat peluang transformasi sosial dan ekonomi yang luas memandangkan ramai yang memasuki golongan pertengahan buat kali pertama. 

 

"Malah, menurut Euromonitor11, Asia Tenggara akan memiliki lebih 190 juta orang di peringkat pertengahan menjelang 2025," katanya dalam laporan berkenaan. 

 

Sejajar dengan pelancaran laporan tersebut, Grab mengumumkan inisiatif-inisiatif baru yang mengukuhkan komitmennya untuk mengurangkan pelepasan karbon dan jejak persekitaran syarikatnya. 

 

Para pengguna Grab tidak lama lagi boleh mengurangkan jejak karbon mereka apabila membuat perjalanan menggunakan Grab menerusi ciri pengimbangan karbon (carbon offset) yang mudah digunakan di dalam aplikasi tersebut. 

 

Grab dan Hyundai Motor Group juga akan melancarkan program rintis Kenderaan Elektrik (EV) baru agar pemilikan EV lebih mampu milik dan mudah diakses, di samping bersama-sama membangunkan pelan tindakan untuk memacu penggunaan EV di Asia Tenggara. 

 

Ketua Pemasaran dan Kelestarian Kumpulan Grab, Cheryl Goh berkata, sejak beberapa tahun lalu, Grab telah mengambil langkah untuk mengurangkan jejak karbon seperti melabur lebih AS$200 juta untuk menambah jumlah kenderaan elektrik dan hibrid ke dalam flit kereta sewa mereka di Singapura.

 

Selain itu, katanya, Grab juga mengurangkan penggunaan hampir 380 juta set kutleri plastik sekali guna pada 2020.

 

"Bagaimanapun, masih banyak lagi perkara yang perlu dilakukan untuk kami mencapai sasaran sifar bersih perlepasan alam sekitar di masa depan.

 

"Ciri pengimbangan karbon baru kami adalah satu lagi langkah penting dalam mengurangkan jejak karbon kami, sambil menyumbang kepada projek pemuliharaan alam sekitar yang dapat meningkatkan kualiti kehidupan komuniti tempatan,” katanya. - DagangNews.com