21 syarikat masuk dalam indeks FTSE4Good Bursa Malaysia Shariah | DagangNews Skip to main content

21 syarikat masuk dalam indeks FTSE4Good Bursa Malaysia Shariah

KUALA LUMPUR 13 Dis - Bursa Malaysia Berhad mengumumkan penambahan 21 syarikat dalam Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia (F4GBM) dan Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia Shariah (F4GBMS) yang menjadikan sebanyak 98 konstituen ketika ini.

 

Indeks F4GBM yang dilancarkan pada December 2014 dengan dengan 24 konstituen, mengukur prestasi syarikat senaraian awam (PLC) yang memaparkan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang kukuh.

 

Bursa Malaysia berkata, bagi tempoh semakan terkini untuk Disember 2022, terdapat 21 tambahan baharu dan 10 syarikat dikeluarkan daripada konstituen Indeks F4GBM yang menjadikan jumlahnya sebanyak 98.

 

Angka itu meneruskan peningkatan tahun ke tahun sejak ditubuhkan pada 2014.

 

"Selain itu, 21 penambahan baharu dan tujuh yang dikeluarkan bagi Indeks F4GBMS kini menjadikan 79 konstituen dalam konstituen itu.

 

"Semua perubahan ini akan berkuatkuasa mulai 19 Disember ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Bernama.

 

Konstituen Indeks F4GBM itu merangkumi syarikat daripada Indeks FTSE Bursa Malaysia yang terdiri daripada PLC dan merentasi segmen permodalan pasaran kecil, sederhana dan besar.

 

Selain itu, Indeks F4GBMS dilancarkan pada Julai 2021 dengan 54 konstituen dan diwujudkan khusus untuk konstituen dalam F4GBM yang patuh Syariah berdasarkan metodologi saringan Majlis Penasihat Syariah.

 

Kedua-dua indeks tersebut akan disemak semula pada setiap Jun dan Disember berpandukan penanda aras antarabangsa. - DagangNews.com