221 usahawan bimbingan Insken catat jualan sehingga RM3.1 juta | DagangNews Skip to main content

221 usahawan bimbingan Insken catat jualan sehingga RM3.1 juta

Sebahagian daripada peserta yang telah menamatkan program bimbingan keusahawanan di Insken.

KUALA LUMPUR 29 Okt - Seramai 221 usahawan bimbingan Institut Keusahawanan Negara Bhd. (Insken) berjaya meningkatkan jualan sehingga RM3.1 juta menerusi tiga program yang dianjurkannya.

 

Program itu meliputi Insken Bumiputera Business Coaching (IBBC), Program Bimbingan Pembangunan Produk dan Program Bimbingan Keuntungan Menu. 

 

Ia turut menyaksikan 54% daripada peserta berjaya mencapai KPI program yang ditetapkan iaitu peningkatan hasil jualan minimum sebanyak 20% melalui program bimbingan komprehensif anjuran agensi ini yang berada di bawah kawal selia Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

 

Peningkatan hasil jualan tersebut terbahagi kepada tiga iaitu, RM2.5 juta daripada 78 peserta
Program IBBC, RM246,000 daripada 84 peserta Program Bimbingan Pembangunan Produk dan RM318,000 adalah daripada 59 usahawan yang menyertai Program Bimbingan Keuntungan Menu.

 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, usahawan tidak boleh sentiasa merasa selesa dengan prestasi perniagaan mereka dengan keadaan semasa yang kian mencabar. 

 

"Usahawan dinasihatkan untuk menjadikan KUSKOP sebagai rujukan utama dalam usaha mengembangkan perniagaan kerana kementerian ini telah menyediakan pelbagai inisitiaf untuk membantu usahawan, termasuklah kepada belia yang baru ingin memulakan perniagaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

 

insken
Majlis graduasi peserta Insken yang dirasmikan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Suriani Ahmad.

 

 

Secara keseluruhan, 221 usahawan yang bergraduasi hari ini telah mengikuti lapan program bimbingan
Insken dan lima daripadanya adalah melalui hasil kerjasama bersama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Insken, Muhd. Firdaus Azharuddin berkata, peningkatan hasil jualan ini dapat dilihat kerana setiap usahawan yang menyertai program bimbingan Insken diwajibkan untuk memasukkan rekod hasil jualan mereka setiap bulan melalui Aplikasi IPro. 

 

Katanya, melalui bimbingan yang diberikan serta rekod hasil jualan ini juga telah membantu 18 usahawan bertukar status daripada kategori mikro kepada kategori perusahaan kecil.

 

"Seramai 58 usahawan telah menambah SKU baharu selepas mengikuti Program Bimbingan Produk dan 25 usahawan daripada Program Bimbingan Keuntungan Menu telah meningkatkan penggunaan medium penghantaran makanan. 

 

"Sementara itu, 41 pekerjaan baharu dicipta melalui Program IBBC yang sekali gus dapat membantu mengurangkan masalah pengangguran dalam kalangan masyarakat negara ini," katanya. - DagangNews.com