2Q21: Pendapatan e-dagang Malaysia meningkat kepada RM267.6 bilion | DagangNews Skip to main content

2Q21: Pendapatan e-dagang Malaysia meningkat kepada RM267.6 bilion

e-dagang

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Pendapatan e-dagang Malaysia pada suku kedua tahun 2021 (2Q21) merekodkan RM267.6 bilion dengan peningkatan 23.3% berbanding suku tahun yang sama sebelumnya.

 

Pertumbuhan transaksi e-dagang itu didorong terutamanya oleh sektor pembuatan dan perkhidmatan.

 

Jabatan Perangkaan Malaysia memberitahu, prestasi hasil sektor perkhidmatan merekodkan pertumbuhan positif 20.5% kepada RM404.5 bilion berbanding tempoh sama tahun 2020.

 

Mengulas perkara itu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, segmen Perdagangan Borong & Runcit, Makanan & Minuman dan Penginapan meningkat 21.8% kepada RM324.6 bilion.

 

Mohd Uzir Mahidin
Mohd Uzir Mahidin

 

"Ini diikuti oleh segmen Maklumat & Komunikasi dan Pengangkutan & Penyimpanan 14.7% kepada RM59.5 bilion.

 

"Segmen Kesihatan dan Kesenian, Hiburan & Rekreasi dan Segmen Profesional dan Ejen Hartanah juga mengalami tren yang sama iaitu masing-masing merekodkan pertumbuhan 27.3% kepada Rm12.2 bilion dan 8.0% kepada RM8.2 bilion," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Dalam pada itu, jumlah pekerja dalam sektor berkenaan merosot sebanyak 25,812 orang atau -0.7% kepada 3.6 juta berbanding suku tahun sama 2020.

 

Kemerosotan itu disebabkan oleh segmen Maklumat & Komunikasi dan Pengangkutan dan Penyimpanan dengan penurunan sebanyak 11,297 orang atau -2.4% diikuti Perdagangan Borong & Runcit, Makanan & minuman dan Penginapan seramai 6,127 orang atau -0.2%.

 

Tambah beliau lagi, berbanding suku sama tahun lalu, gaji dan upah yang dibayar meningkat 0.4% atau RM100.5 juta.

 

Peningkatan gaji dan upah ini disumbangkan oleh segmen Maklumat & Komunikasi dan Pengangkutan & Penyimpanan dengan peningkatan sebanyak RM120.8 juta atau 2.8%.

 

Ujarnya lagi, ia diikuti oleh segmen Perdagangan Borong & Runcit, Makanan & Minuman dan Penginapan dan segmen Kesihatan dan Kesenian, Hiburan Rekreasi yang masing-masing meningkat sebanyak RM9.3 juta dan RM3.0 juta. - DagangNews.com