2Q21: Peningkatan tawaran dan permintaan pacu prestasi lebih baik pasaran buruh negara | DagangNews Skip to main content

2Q21: Peningkatan tawaran dan permintaan pacu prestasi lebih baik pasaran buruh negara

 Kredit gambar Kishor-Unsplash
Kredit gambar Kishor-Unsplash

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Pasaran buruh Malaysia pada suku kedua 2021 (2Q21) adalah lebih baik berbanding suku sama tahun sebelumnya.

 

Prestasi itu bagaimanapun belum kembali kepada kedudukan sebelum pandemik.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, prestasi lebih baik itu ditunjukkan oleh peningkatan dalam penawaran dan permintaan buruh di negara ini.

 

Menurutnya, peningkatan itu disokong oleh pengoperasian aktiviti ekonomi dan sosial yang lebih banyak terutamanya pada awal suku kedua termasuk pembukaan semula pendidikan menengah serta kebenaran bagi gerai makanan dan penjaja untuk beroperasi sempena bulan Ramadan.

 

"Bagaimanapun, PKP penuh telah dilaksanakan sejak 1 Jun 2021, dalam fasa ini kebenaran untuk beroperasi hanya diberikan kepada aktiviti penting merangkumi subsektor pembuatan terpilih, makanan & minuman, keselamatan, perkhidmatan kesihatan dan perubatan, perbankan dan komunikasi.

 

"Namun, keadaan ini berbeza dari suku yang sama tahun sebelumnya dengan kebenaran berada di presmis sehingga 60% bagi pekerja sektor penting swasta," jelasnya dalam satu kenyataan.

 

Peningkatan penyertaan dalam tenaga buruh berbanding suku sama tahun sebelumnya ditunjukkan oleh pertambahan 0.2 mata peratus kadar penyertaan tenaga buruh kepada 68.3%.

 

Bilangan penduduk bekerja naik 2.2% merekodkan 15.21 juta orang berbanding 14.88 juta orang pada suku kedua 2020.

 

Sementara itu, bilangan penganggur berkurang 3.4% kepada 764.9 ribu orang.

 

Meskipun begitu, beliau memberitahu bilangan penganggur kekal tinggi berbanding purata 500,000 ribu orang yang direkodkan pada tempoh sebelum COVID-19.

 

Mengulas berkaitan jumlah jawatan dalam sektor ekonomi pula, Mohd Uzir berkata, jumlah jawatan bertambah baik dengan penyusutan tahunan yang lebih kecil sebanyak 0.4% berbanding -1.7% pada suku sebelumnya mencatatkan sejumlah 8.35 juta.

 

Katanya, dalam tempoh sama, jawatan diisi yang merangkumi 97.9% atau 9.17 juta berkurang 0.5%.

 

Mohd Uzir ketika merumuskan prestasi pasaran buruh pada suku kedua 2021 memberitahu, kedudukan pasaran buruh bertambah baik berbanding suku sama tahun sebelumnya, namun langkah kawalan yang merangkumi sekatan berterusan aktiviti ekonomi dan sosial telah dilaksanakan menjelang akhir suku kedua 2021 bagi melindungi kesihatan awam.

 

"Berikutan prosedut yang lebih ketat berbandung suku pertama tahun ini, telah menyebabkan momentum pemulihan pasaran buruh terjejas pada suku ini," katanya lagi. - DagangNews.com