3 aplikasi 'hUb' baharu pacu transformasi digital UEM Sunrise | DagangNews Skip to main content

3 aplikasi 'hUb' baharu pacu transformasi digital UEM Sunrise

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 3 Mac. - Syarikat pemaju hartanah, UEM Sunrise Berhad (UEM Sunrise) meneruskan fasa transformasi digital dengan pelancaran tiga aplikasi 'hUb' iaitu hUb Home, hUb Mall dan hUb Life.

 

Pelancaran aplikasi tersebut melambangkan komitmen UEM Sunrise dalam menyediakan pengalaman yang lebih bersifat digital dan menepati citarasa pelanggan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah berkata, landasan digital pihaknya adalah salah satu langkah transformasi dalam evolusi platform penglibatan pemegang taruh yang paling penting iaitu para pelanggan.

 

 Sufian Abdullah
Sufian Abdullah

 

"Sebagai salah satu pemaju hartanah terkemuka negara, kami sentiasa berusaha mencari kaedah baru untuk berinovasi dan meningkatkan taraf kehidupan para pelanggan kami serta orang ramai.

 

"Selain daripada itu, ianya juga telah menjadikan UEM Sunrise sebagai sebuah syarikat yang melangkaui daripada  aspek pembinaan rumah, serta menjangkakan apa yang diperlukan oleh pelanggan kami, bahkan dalam kehidupan seharian mereka," jelasnya.

 

Beliau berkata demikian dalam sesi dialog maya bersama Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Dzuleira Abu Bakar.

 

Dalam sesi dialog berkenaan, Sufian turut mengumumkan penubuhan Rise Digital Sdn. Bhd. (Rise Digital) sebagai sebuah anak syarikat digital.

 

Pelancaran 3 aplikasi terbaharu itu merupakan kesinambungan kepada hUb Prop yang diperkenalkan pada tahun 2019 sebagai penanda aras pertama dalam agenda transformasi digital UEM Sunrise.

 

Aplikasi hUb Home berfungsi sebagai pasaran maya yang merangkumi pelbagai perkhidmatan oleh para profesional untuk membantu para pelanggan dalam kerja-kerja seharian mereka. 

 

Aplikasi hUb Mall pula adalah platform pelbagai khidmat yang merangkumi berita dan pengumuman dari Pusat beli-belah Publika dan program penebusan ganjaran kesetiaan.

 

Bagi aplikasi hUb Life, ia merupakan platform sehenti untuk perkhidmatan pengurusan kondominium seperti akses pelawat, tempahan kemudahan, ID digital untuk penduduk dengan rancangan untuk diperluaskan merangkumi pengenalan lesen plat kenderaan (LPR). 

 

Dzuleira Abu Bakar
Dzuleira Abu Bakar

 

Sementara itu, Dzuleira memberitahu, UEM Sunrise adalah contoh terbaik jangkauan Korporat Malaysia dalam memainkan peranan penting bagi ekosistem syarikat pemula.

 

"UEM Sunrise boleh mengambil langkah mudah dengan berkerjasama dengan pembekal perkhidmatan tradisional yang sedia ada untuk perisian mereka.

 

"Tetapi mereka telah mengambil risiko dan menaruh kepercayaan terhadap syarikat-syarikat pemula bahawa mereka boleh memberi khidmat yang terbaik untuk pelanggan-pelanggan mereka," ujar Dzuleira. - DagangNews.com