30% penyewa pusat beli-belah dijangka tutup operasi menjelang Disember tahun ini | DagangNews Skip to main content

30% penyewa pusat beli-belah dijangka tutup operasi menjelang Disember tahun ini

Pusat beli-belah. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 13 Ogos - Sebanyak 30% penyewa melibatkan 60% pusat beli-belah di negara ini dijangka menghentikan operasi menjelang Disember 2021.

 

Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPKM) berkata, jangkaan itu adalah lebih tinggi berbanding penutupan 10% yang direkodkan pada Disember tahun lalu.

 

Menurutnya, situasi tersebut memberi risiko kepada penutupan lebih banyak pusat beli-belah menjelang akhir tahun ini.

 

"Kaji selidik yang dijalankan bersama dengan Stratos Pinnacle SB menunjukkan ketika ini hanya 10 hingga 20% penyewa masih beroperasi di kebanyakan pusat beli belah seluruh negara.

 

"Kira-kira 60 peratus pusat beli belah menyaksikan penutupan sehingga 10% penyewa pada Disember 2020, namun jumlahnya dijangka lebih tinggi menjelang Disember tahun ini iaitu sekitar 30%.

 

"Penutupan dan kegagalan penyewa meneruskan operasi mereka di pusat beli-belah adalah disebabkan penurunan jumlah pengunjung," katanya seperti dilapor Berita Harian.

 

Jumlah pengunjung melibatkan 60% pusat beli-belah di negara ini menunjukkan penurunan mendadak antara 60 hingga 90%.

 

PPKM memberitahu, kadar penurunan tersebut adalah konsisten di semua pusat beli belah yang kecil dan besar.

 

Kaji selidik yang melibatkan 94 responden itu turut menunjukkan prestasi jualan pusat beli-belah yang menurun sebanyak 60 hingga 90%.

 

Jelas persatuan itu, jualan sektor perniagaan yang dibenarkan beroperasi turut mengalami penurunan jualan, sektor perniagaan tidak dibenarkan beroperasi pula berdepan kejatuhan jualan lebih teruk sehingga sifar.

 

Penurunan jualan itu adalah disebabkan oleh kekurangan pengunjung selain kuasa membeli rakyat yang semakin lemah.

 

"Pusat beli belah turut berdepan kesukaran mengekalkan aliran tunai apabila 32% responden hanya dapat bertahan kurang daripada tiga bulan.

 

"Bagi mengatasi aliran tunai yang mendesak, 14% pusat beli belah terpaksa membuang pekerja.

 

"Manakala, majoriti pusat beli belah mengurangkan jumlah pekerja sebanyak 10 hingga 20%. Bagaimanapun jumlah ini dijangka terus meningkat," jelas PPKM lagi. - DagangNews.com