KUALA LUMPUR 6 Mac - Lebih 300 usahawan jutawan dari Malaysia dan Indonesia menyertai Titanium Inner Circle Meeting 2023 anjuran RichWorks International Sdn Bhd di Jakarta yang bermula hari ini hingga 10 Mac.
Pengasas RichWorks, Datuk Wira Dr Azizan Osman berkata, pihaknya gembira dan berbesar hati dapat bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia dalam menjayakan program ini.
"Saya sangat gembira dapat bekerjasama dengan Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia, Sandiaga Salahuddin Uno dan usahawan Indonesia.
"Saya menghormati komitmen dan kegigihan usahawan Indonesia. Saya berharap kerjasama ini akan berterusan agar ia terus mencipta peluang perniagaan yang lain, katanya.
Turut hadir, Pengarah Kulinari, Kraf, Reka Bentuk dan Fesyen kementerian, Yuke Sri Rahayu dan Ketua Pegawai Eksekutif RichWorks Indonesia, Aryani Firdaus.
Dalam pada itu, Sandiaga Uno mendedahkan antara sebab mereka memilih Richworks untuk bekerjasama adalah selepas melihat video Dr Azizan menyampaikan motivasi kepada peserta yang bersesuaian dengan nilai inovasi, kerjasama dan manfaat.
Sandiaga berkata, usaha ini bukan sahaja menjaringkan sisi ekonomi kreatif tetapi juga daripada segi memberi kesan positif kepada sesama manusia dan alam sekitar.
"Ini yang saya lihat dan kami bersetuju untuk bekerjasama dan mengadakan pelbagai latihan di kementerian dan kemudian di Bali. Kerana Bali sangat memerlukan sokongan untuk memulihkan keadaan pasca COVID-19," katanya.
Sandi turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Dr Azizan kerana sudi memindahkan lokasi acara ke Bali yang memberi impak positif dalam memulihkan sektor pelancongan dan ekonomi kreatif di situ selepas pandemik.
"Saya harap ini hanya permulaan. Nanti ada puluhan ribu usahawan meningkatkan perolehan dan membuka peluang perniagaan untuk mewujudkan sasaran mewujudkan 4.4 juta pekerjaan pada 2023," katanya.
Sandiaga juga melihat pencapaian usahawan Indonesia yang mendapat bimbingan Richworks telah berkembang pesat dalam tempoh 6 bulan.
“Saya melihat pemenang anugerah Mentorship Bintang Bangkit Indonesia iaitu Irfan Ahmad Fauzi, Adhi Permana Putra Krisyasuda, Iwan Febrian, Salsabila Tarigan, Ujang Burhanudin, pencapaian mereka berlima adalah pencapaian luar biasa dan pastinya mendapat impak positif daripada latihan, baik Richworks Malaysia mahupun Richworks Indonesia," katanya.
Katanya, oleh kerana Indonesia dan Malaysia mempunyai nilai dan adat yang sama, beliau berharap persahabatan dan kerjasama tersebut akan meningkatkan pelaburan peluang perniagaan dan pekerjaan untuk kesejahteraan rakyat Indonesia.
Terdahulu, pada Titanium Inner Circle Meeting Jakarta, anugerah turut disampaikan kepada usahawan yang berjaya meningkatkan perniagaan mereka selepas berjaya mencapai jualan terkumpul sebanyak RM3.9 bilion pada 2022 di bawah bimbingan Dr Azizan, lapor Indo Post News.
Melalui bimbingan Richworks dan Dr Azizan serta tajaan Kementerian Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, projek perintis bersama 25 usahawan Indonesia berjaya dicapai dalam tempoh 6 bulan mulai Oktober 2022 dengan peningkatan perniagaan.
Pada program tersebut, sejumlah 5 usahawan perintis dari Indonesia menerima anugerah Rising Star, selain pelancaran laman web richworks.co.id dan laman sosial Instagram rasmi Richworks Indonesia. - DagangNews.com