KUALA LUMPUR 26 Okt - Tinjauan RinggitPlus mendapati sejumlah 32% responden mengakui bahawa keadaan kewangan mereka lebih teruk berbanding 2022.
Berdasarkan tinjauan itu juga, 55% responden mengakui khuatir, kecewa atau malu dengan keadaan kewangan semasa mereka kerana perbelanjaan mereka bersamaan atau melebihi pendapatan pada setiap bulan.
Sejumlah 71% responden mengakui hanya mampu menyimpan kurang daripada RM500 setiap bulan, manakala 67% mendedahkan simpanan kecemasan mereka hanya dapat bertahan selama tiga bulan atau kurang daripada itu.
Kajian Literasi Kewangan Malaysia RinggitPlus (RMFLS) 2023 telah dijalankan dalam tiga bahasa meliputi semua seluruha negara dan tinjuan itu mengambil sampel 3,211 responden berumur 18 tahun ke atas.
"Walaupun angka-angka berkenaan kelihat suram namun sebenarnya ia tidak banyak berubah berbanding tahun lalu
"Ia adalah sesuatu di luar jangkaan kerana tabiat kewangan rakyat Malaysia seharusnya terjejas oleh kegawatan ekonomi global. Bagaimanapun, hasil kajian tahun ini mendedahkan rakyat Malaysia mempamerkan daya tahan yang mengagumkan dengan menguasai keadaan kewangan mereka, dengan 94% responden mengambil tindakan proaktif untuk memperbaiki keadaan kewangan mereka pada tahun ini.
"Tiga tindakan yang paling utama termasuk mengurangkan aktiviti riadah, kurang makan di luar, dan bersungguh-sungguh menjejaki perbelanjaan mereka," katanya RinggitPlus dalam satu kenyataan, hari ini.
Tinjauan itu juga mendapati sejumlah 94% responden melaporkan pengalaman berkaitan dengan penipuan tahun ini, sekaligus menonjolkan keperluan mendesak bagi meningkatkan tahap literasi kewangan digital dalam kalangan rakyat Malaysia.
Bagi mengatasi masalah itu, industri perbankan telah melancarkan kempen kesedaran anti-penipuan yang dikemas kini dan agresif, manakala kerajaan telah meningkatkan pembiayaan untuk Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) untuk tahun akan datang.
Selain itu, kajian RMFLS juga mendedahkan bahawa 68% rakyat Malaysia bergantung kepada media sosial bagi mendapat pandangan kewangan, yang mendahului sumber tradisional seperti rakan dan keluarga.
"Keadaan itu menimbulkan kebimbangan mengenai kebanjiran maklumat salah serta 'pakar kewangan' yang tidak bertauliah dalam talian," katanya. - DagangNews.com