37 perkhidmatan boleh beroperasi ketika PKP - MITI | DagangNews Skip to main content

37 perkhidmatan boleh beroperasi ketika PKP - MITI

 

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 12 Jan. - Kerajaan membenarkan 37 perkhidmatan beroperasi menerusi 5 sektor utama sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) di 6 negeri mulai esok. 

 

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkhidmatan tersebut merangkumi sektor perlu iaitu pengilangan dan pembuatan di bawah kawal selia kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI). 

 

Bagi sektor pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran serta perladangan dan komoditi pula di bawah bidang kuasa kementerian dan agensi lain.

 

Beliau berkata, 6 negeri yang dikenakan PKP merupakan pemacu aktiviti ekonomi utama negara dan penyumbang yang besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara iaitu 66.3% daripada jumlah keseluruhan KDNK.

 

Selangor menyumbang sebanyak 24.2% kepada KDNK diikuti Wilayah Persekutuan (16.9%), Johor (9.4%), Pulau Pinang (6.7), Sabah (6%) dan Melaka (3.1%).

 

"Keputusan kerajaan membenarkan 5 sektor ekonomi perlu termasuk pengilangan dan pembuatan untuk beroperasi adalah bagi menjamin proses pemulihan semula ekonomi negara dan kemampanan perniagaan. 

 

"Langkah ini juga bagi mengelak kadar kehilangan pekerjaan yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia dan memastikan rakyat terus mendapat akses keperluan asas dan kritikal sepanjang tempoh PKP," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Prosedur operasi standard (SOP) bagi sektor pengilangan dan pembuatan yang di bawah tanggungjawab MITI boleh dimuat turun di www.miti.gov.my. 

 

Syarikat-syarikat yang telah berdaftar dengan pangkalan data MITI iaitu COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) melalui pautan https://notification.miti.qov.my tidak perlu membuat pendaffaran semula
untuk beroperasi dalam tempoh PKP. 

 

Syarikat-syarikat yang berkenaan hanya perlu memuat turun surat notifikasi pengesahan pendaftaran yang
boleh dimuat turun mulai hari ini pukul 3.00 petang.

 

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam taklimat khas berkata PKP akan dikuatkuasakan di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Melaka, Johor dan Sabah mulai tengah malam 13 hingga 26 Januari yang mana pergerakan antara daerah adalah dilarang.

 

PKP Bersyarat (PKPB) pula akan dikuatkuasakan di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan juga bagi tempoh yang sama manakala Perlis dan Sarawak akan menjalani PKP Pemulihan (PKPP).

 

Mohamed Azmin berkata, tindakan yang bertanggungjawab ini dapat memberi impak positif khususnya dalam usaha kerajaan memastikan pertumbuhan ekonomi negara, pelaburan tempatan dan asing serta kelangsungan perusahaan kecil dan sederhana. 

 

"MITI ingin menegaskan kewajipan dan kebertanggungjawaban pihak industri untuk mematuhi arahan PKP dan SOP yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya.

 

Beliau memberitahu, kementerian dengan kerjasama Pihak Berkuasa Negeri akan menjalankan penguatkuasaan secara berkala bagi sepanjang tempoh PKP ke atas syarikat-syarikat untuk memastikan pematuhan SOP dan akan
mengambil tindakan kompaun kesalahan. 

 

Tindakan ini selaras dengan Seksyen 25 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

 

Majikan yang didapati melanggar dan tidak mematuhi SOP akan dikenakan tindakan undang-undang termasuk menutup premis berkenaan, jelas beliau. - DagangNews.com