3Q20: Keuntungan bersih bank menurun 30%? | DagangNews Skip to main content

3Q20: Keuntungan bersih bank menurun 30%?

Bank

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Jumlah keuntungan bersih sektor perbankan dijangka akan menurun sebanyak 30% pada suku ketiga 2020.

CGS-CIMB Research berkata, penurunan itu bakal terjadi sekiranya peruntukan kerugian pinjaman (LLP) bagi suku tersebut meningkat lebih tinggi.

"LLP bank berkemungkinan meningkat lebih tinggi pada suku ketiga 2020 daripada paras tertinggi sebanyak RM3.98 bilion pada suku kedua 2020.

"Jangkaan ini dibuat memandangkan peningkatan yang lebih tinggi dalam jumlah peruntukan industri sebanyak RM1.86 bilion pada suku ketiga 2020 berbanding RM1.63 bilion pada suku kedua 2020.

"Sekiranya ini berlaku, keuntungan bersih suku ketiga 2020 bank akan menurun sekitar 30% berbanding tahun sebelumnya," jelas CGS-CIMB Research.

Bank mencatatkan jumlah pinjaman industri yang semakin berkembang sebanyak 3% untuk tempoh sembilan bulan pertama 2020.

Prestasi itu adalah lebih baik berbanding momentum pinjaman yang dijangkakan oleh CGS-CIMB Research.

Susulan itu senario positif itu, CGS-CIMB Research memberi keyakinan pengembangan jumlah pinjaman pada suku keempat 2020 sekali gus meningkatkan anggaran pertumbuhan pinjaman bagi kewangan 2020 kepada c.4% berbanding anggaran sebelumnya hanya c.3%.

"Kami tidak terlalu bimbang dengan kenaikan LLP bank pada suku ketiga 2020 kerana kami menjangkakan bank akan menanggung LLP susulan risiko COVID-19 pada separuh kedua 2020.

"Pilihan kami dalam sektor ini adalah Public Bank, Hong Leong Bank , RHB Bank dan AMMB," ujar CGS-CIMB Research lagi. - DagangNews.com