421,479 dos diberi semalam, PICK jauh lepasi sasaran | DagangNews Skip to main content

421,479 dos diberi semalam, PICK jauh lepasi sasaran

Vaksin COVID-19. Kredit gambar Jabatan Penerangan Malaysia

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 13 Julai - Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) mencatatkan rekod pemberian dos harian yang baharu sebanyak 421,479 dos semalam.

 

Jumlah yang dicatatkan itu sekali gus jauh melepasi sasaran harian sebanyak 300,000 dos yang diletakkan kerajaan.

 

/

 

Jumlah berkenaan juga meningkat berbanding 376,908 dos yang dicatatkan pada 8 Julai baru-baru ini.

 

Melalui suntikan harian semalam, sebanyak 264,034 melibatkan suntikan dos pertama dan 157,445 lagi adalah bagi suntikan dos kedua.

 

Selangor, Sarawak dan Kuala Lumpur mencatatkan pemberian dos tertinggi semalam dengan jumlah masing-masing sebanyak 98,118, 82,068 dan 67,904.

 

Dalam pada itu, jumlah kumulatif pemberian dos vaksin di negara ini melonjak kepada 11.78 juta bagi tempoh sama.

 

Jumlah berkenaan melibatkan 8.1 juta pemberian dos pertama dan 3.6 juta bagi pemberian dos kedua.

 

.

 

Bagi peratusan populasi penduduk Malaysia yang telah divaksin pula, sebanyak 24.8% telah menerima dos pertama dan 11.3% berjaya melengkapkan dos kedua.

 

Sarawak mencatatkan peratusan populasi yang menerima suntikan dos pertama yang tertinggi iaitu sebanyak 50.2%.

 

Jumlah berkenaan diikuti oleh Wilayah Persekutuan Labuan dan Lembah Klang dengan peratusan masing-masing sebanyak 39.8% dan 36.5%.

 

Peratusan vaksinasi di sekitar Lembah Klang meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor. - DagangNews.com