4Q21: FGV sasar 100% kebolehkesanan rantaian bekalan tandan buah segar | DagangNews Skip to main content

4Q21: FGV sasar 100% kebolehkesanan rantaian bekalan tandan buah segar

FGV

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 12 Nov. - FGV Holdings Berhad (FGV) meletakkan sasaran untuk mencapai tahap Kebolehkesanan ke Ladang (TTP) Tandan Buah Segar (TBS) sebanyak 100% menjelang suku keempat 2021 (4Q21).

Sasaran itu diletakkan selepas syarikat tersebut berjaya mencapai 81% TTP Tandan Buah Segar pada masa kini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, walaupun Kebolehkesanan Ke Kilang (TTM) pihaknya adalah 100%, kebolehkesanan TBS ke ladang asal merupakan satu cabaran yang unik disebabkan oleh kerumitan rantaian bekalan dalam rangkaian peniaga TBS.

"Ini kerana FGV memperolehi dua pertiga sumber TBS daripada pembekal luar yang terdiri daripada peneroka FELDA, pekebun kecil bebas, ladang swasta dan juga peniaga TBS, manakala hanya satu pertiga TBS yang diperolehi secara langsung adalah dari ladang sendiri.

 

FGV

 

“Oleh itu, pencapaian TTP yang melebihi 80% merupakan kejayaan besar bagi kami dan kami komited untuk memastikan kebolehkesanan penuh dapat dicapai menjelang tahun hadapan," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Inisiatif kebolehkesanan FGV adalah untuk memastikan bahawa sumber TBS tidak terlibat dengan penyahhutanan, penanaman tanah gambut dan pembakaran terbuka, selaras dengan Dasar Kelestarian Kumpulan (GSP) dan komitmen Tiada Penebangan Hutan, Tiada Tanah Gambut dan Tiada Eksploitasi (NDPE).

Sehingga Oktober 2020, sebanyak 28% bekalan TBS FGV diperolehi secara dalaman dari ladang sendiri, sementara 72% adalah dari sumber luar. 

Daripada bekalan luar berkenaan, sebanyak 63% dibekalkan terus daripada peneroka FELDA, 2% daripada pekebun kecil bebas, 4% daripada ladang swasta, 2% daripada koperasi, dan 28% melalui peniaga TBS di Malaysia.

 

FGV

 

Sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan FGV terhadap kebolehkesanan dan jaminan produk, FGV juga telah mewujudkan program kebolehkesanan dan pemetaan risiko. 

Program ini bertujuan untuk mengesan dan mengenal pasti risiko kelestarian, termasuk risiko alam sekitar serta sosial dan hak asasi manusia yang berkaitan dengan pembekal-pembekal luar berdasarkan kawasan geografi masing-masing.

Selain itu juga, FGV sedang bekerjasama dengan Institut Inovasi Rantaian Bekalan Malaysia (MISI) dan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Gunaan Nasional Malaysia (MIMOS) untuk mengusahakan pengesahan maklumat data kebolehkesanan, pengesahan pembekal luaran mematuhi Dasar Kelestarian Kumpulan dan peningkatan status kelestarian pembekal FGV melalui Program Rangkaian Pilihan (PNP).

Inisiatif itu adalah bagi menggalakkan pematuhan yang lebih baik oleh pembekal mengikut piawaian syarikat.

FGV juga telah membangunkan sebuah sistem kebolehkesanan berkomputer iaitu Traceability of Product (FGV-ToP) yang membolehkan pelanggan mendapatkan maklumat seperti status terkini pensijilan, geolokasi dan pengeluaran bulanan setiap kilang. - DagangNews.com