Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 25 Ogos - Sebanyak 50 perusahaan sosial kini bersiap sedia dengan ilmu dan kemahiran selepas berjaya lulus dan menamatkan bengkel Social Entrepreneur- Transformation, Innovation & Acceleration (SEtia) yang berakhir hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Dzeleira Abu Bakar berkata,
pihaknya komited membantu peserta tersebut untuk berkembang maju memandangkan ekosistem perusahaan sosial adalah kekuatan bagi negara Malaysia.
"Ketika kita menghadapi kejatuah ekonomi susulan wabak COVID-19, perusahaan sosial kita menghadapi cabaran yang besar untuk bertahan dalam tempoh berkenaan.
"Selain membangunkan kemampanan dan ketahan perniagaan, perusahaan sosial juga perlu dibangunkan dengan budaya inovasi agar dapat berkembang dalam ekonomi yang tidak menentu," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.
SEtia merupakan bengkel berasaskan perusahaan terbesar hasil kerjasama antara MaGIC dan Standard Chartered Bank Malaysia Berhad (Standard Chartered).
Bengkel itu juga adalah salah satu daripada inisiatif MaGIC dalam usaha membina dan meningkatkan ekosistem perusahaan sosial di Malaysia.
Bengkel itu telah berlangsung dari 16 Julai hingga 16 Ogos 2020.
SEtia dijalankan bagi meningkatkan kemahiran pengembangan perniagaan serta ketahanan perniagaan dalam menghadapi iklim ekonomi dunia.
Bengkel tersebut juga turut disertai oleh syarikat sosial terkenal seperti The Urban dan Humans of KL.
Sementara itu, Ketua Perbankan Runcit Standard Chartered Malaysia, Lai Pei Si berkata, pihaknya mempunyai pelbagai sejarah dalam pembangunan sosial dan ekonomi negara di samping memberi sokongan kepada seluruh masyarakat di seluruh negara.
"Keusahawan sosial di Malaysia adalah sektor yang berpotensi untuk berkembang dan dapat menyumbang kepada sosio-ekonomi negara.
"Pembangunan keusahawanan sosial adalah instrumen kepada pemerkasaan masyarakat," tambahnya.
Antara perusahaan sosial yang berjaya lulus dalam Bengkel SEtia 2020 adalah The Basikal, Thekedua.com, Petani Millennial, MyHelix dan pelbagai lagi. - DagangNews.com