52% pengguna Malaysia pilih kaedah pembayaran masa nyata | DagangNews Skip to main content

52% pengguna Malaysia pilih kaedah pembayaran masa nyata

ACI Worldwide

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 7 Julai – Sebanyak 52% pengguna di Malaysia memilih kaedah pembayaran masa nyata seperti DuitNow sebagai kaedah pembayaran pilihan pada 2021.

 

Menurut kajian baharu oleh syarikat perisian global, ACI Worldwide (NASDAQ: ACIW) dan YouGov, jumlah tersebut secara tidak langsung menunjukkan permintaan pengguna terhadap pembayaran masa nyata sedang meningkat di negara ini berikutan pandemik.

 

Pengarah Urusan Asia ACI Worldwide, Leslie Choo berkata, peralihan asas dalam permintaan pengguna dan jangkaan pembayaran menampilkan cabaran kepada bank-bank, institusi kewangan dan peniaga Asia Tenggara.

 

Leslie Choo
Leslie Choo.

 

"Organisasi-organisasi ini tidak mampu menangguhkan projek pemodenan mereka, meskipun COVID-19 mencetuskan cabaran.

 

"Sebaliknya, mereka boleh memacu pertumbuhan dengan menyertai ekosistem pembayaran masa nyata serantau yang sedang pesat membangun, yang akan mempertingkatkan keupayaan mereka untuk melaksanakan inovasi dan transformasi, pada masa yang sama mengurangkan kos infrastruktur dan operasi," jelas beliau dalam satu kenyataan.

 

Lebih separuh daripada pengguna (52%) di Malaysia memilih kaedah pembayaran masa nyata sebagai kaedah pembayaran pilihan pada tahun 2021.

 

.

 

Jumlah berkenaan hanya ketinggalan di belakang wang tunai (62%) dan dompet digital yang memerlukan penambahan wang tunai atau kad (62%).

 

Dalam pada itu, satu pertiga (32%) daripada pengguna di Malaysia telah mengurangkan penggunaan kaedah pembayaran tradisional seperti wang tunai, kad kredit dan kad debit sejak bermulanya penularan COVID-19.

 

Hasilnya, hampir separuh (45%) daripada pengguna kini lebih banyak menggunakan pembayaran masa nyata berbanding dengan tempoh sebelum berlakunya pandemik.

 

Kajian sama turut menunjukkan bagaimana para pengguna di Malaysia menjangkakan manfaat daripada penggunaan pembayaran masa nyata di peringkat domestik dan antarabangsa selain perjalanan membeli-belah merentas sempadan. 

 

Susulan itu, sebanyak 49% daripada pengguna Malaysia yang melakukan perjalanan antarabangsa sebelum ini  mengharapkan penggunaan kaedah pembayaran masa nyata meningkat apabila melakukan perjalanan pada masa depan.  

 

Sementara itu, 70% menyatakan bahawa keupayaan mereka untuk menggunakan pilihan pembayaran pilihan semasa melakukan perjalanan ke luar negeri adalah lebih penting pada masa kini.

 

"Oleh yang demikian, satu perempat (25%) menjangkakan penggunaan kaedah pembayaran tradisional seperti wang tunai akan berkurang apabila mereka melakukan perjalanan lagi pada masa hadapan.  

 

"Tiga perempat (76%) menyatakan bahawa keselamatan pembayaran dan pencegahan penipuan kini akan menjadi lebih penting, manakala dua pertiga (67%) menyatakan bahawa ketelusan kadar pertukaran kini adalah lebih penting," ujar beliau. - DagangNews.com