580,000 syarikat ibarat 'telur di hujung tanduk' | DagangNews Skip to main content

580,000 syarikat ibarat 'telur di hujung tanduk'

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com
 

 

KUALA LUMPUR 7 Julai - Hampir 580,000 perniagaan dijangka gulung tikar menjelang Oktober ini jika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) ini dilanjutkan lagi. 

 

Malah, kaji selidik yang dijalankan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) ini turut mendapati kebanyakan perniagaan tersebut yang jatuh dalam kategori pertama ditutup terakhir dibuka akan menyebabkan lebih 7 juta rakyat Malaysia hilang pekerjaan.

 

Lebih memburukkan keadaan, dengan mengambil kira secara purata jumlah pekerja ini melibatkan 2 tanggungan, ia bermakna 14 juta orang akan terjejas akibat situasi ini. 

 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sekiranya golongan perusahaan kecil, sederhana dan mikro (PKSM) ini gagal dibantu, ia akan membawa impak lebih buruk kepada landskap sosio ekonomi. 

 

Katanya, ini memerlukan satu tindakan yang pantas dalam menangani situasi ini daripada menjadi lebih menyakitkan pada masa akan datang.

 

"Saya bimbang sekiranya kita tidak melakukan sesuatu sekarang, kebanyakan perniagaan ini akan gagal dan tidak lagi boleh membantu membina semula ekonomi apabila perniagaan dibenarkan beroperasi kembali.

 

"Apatah lagi, ia akan memberi kesan domino, yang akan terus memberi kesan lebih serius kepada sosial dan ekonomi," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

MEDAC mengendalikan kaji selidik itu pada 15 hingga 28 Jun lalu untuk melihat kesan PKP 3.0 terhadap landskap keusahawanan di Malaysia membabitkan 6,664 responden di seluruh negara.

 

Kaji selidik itu mendedahkan kebanyakan peniaga menghadapi sindrom 'lesu perniagaan' dan kurang yakin terhadap hasil 'lockdown' yang dikuatkuasakan kerajaan bagi membendung penularan wabak COVID-19.

 

Didapati juga, kira-kira satu pertiga daripada responden tidak menerima sebarang bantuan yang diperkenalkan kerajaan.

 

Sektor PKSM secara dasarnya menyumbang 40% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

 

Wan Junaidi berkata, kaji selidik itu turut menunjukkan hampir 60% usahawan berdepan sekurang-kurangnya satu masalah kesihatan mental ketika dalam tempoh 'lockdown'.

 

"Antara faktor utama disebabkan kebimbangan hilang pendapatan, pendapatan berkurangan, hutang dan masalah kewangan serta bimbang perniagaan terpaksa ditutup." katanya.

 

Malah, katanya, kebanyakan usahawan ini juga bimbang mengenai masa depan mereka sekali gus menyebabkan tekanan perasaan yang tinggi hingga menjejaskan kesihatan mental dan emosi.

 

Kementerian katanya, juga mendapati lebih 90% usahawan ini tidak mempunyai insurans dan 70% pula tiada jaringan perlindungan sekiranya mereka hilang punca pendapatan.

 

"Hakikatnya, impak daripada 'lockdown' ini bukan sahaja menjejaskan aspek ekonomi tetapi juga dari segi sosial," tambah beliau. - DagangNews.com