Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 24 Jun - Sebanyak 252,773 dos vaksin berjaya diberikan kepada rakyat Malaysia semalam.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) berkata, jumlah pemberian dos harian yang dicatatkan itu terdiri daripada 174,448 dos pertama dan 78,325 bagi pemberian dos kedua.
Pertambahan pemberian dos harian tersebut sekali gus menjadikan jumlah rakyat Malaysia yang sudah divaksin mencecah 6.5 juta setakat 23 Jun 2021.
JKJAV dalam data terbaharunya memberitahu, jumlah tersebut meliputi 4.7 juta penerima vaksin dos pertama dan 1.8 juta yang menerima dos kedua.
Peningkatan berkenaan sekali gus menjadikan peratusan populasi rakyat Malaysia yang menerima dos pertama adalah sebanyak 14.5%.
Sementara itu, peratusan populasi bagi dos kedua mencecah 5.5% bagi tempoh sama.
Peratusan populasi penduduk yang sudah divaksin mengikut negeri menyaksikan peningkatan dari semasa ke semasa seiring jumlah harian pemberian vaksin.
Kuala Lumpur terus dihadapan dengan peratusan populasi sebanyak 46.5% yang telah menerima dos pertama dan 8.9% yang menerima dos kedua.
Selain itu, Putrajaya turut mencatatkan jumlah peratusan populasi tinggi bagi penerima dos pertama iaitu sebanyak 32.3%, manakala 20.9% adalah penerima dos kedua.
Labuan dan Sarawak pula merupakan dua lagi negeri yang telah mencatatkan peratusan populasi yang menerima vaksin dos pertama melebihi kadar 20%.
Hingga semalam, masing-masing mencatatkan 29.5% dan 27.5% bagi penerima dos pertama. - DagangNews.com