KUALA LUMPUR 23 Julai - 65.5% responden tinjauan CelcomDigi melaporkan mereka pernah menerima percubaan scam, manakala 52.6% daripadanya berkata panggilan telefon adalah medium popular untuk menghubungi bakal mangsa.
Menurut Tinjauan Kesedaran Penipuan Kebangsaan 2024, merangkumi jumlah 10,839 orang responden menunjukkan 52% responden menyekat nombor telefon digunakan dalam cubaan scam.
Katanya, 32% responden akan memaklumkan insiden scam itu kepada keluarga dan rakan.
Apabila menerima percubaan scam, tinjauan itu berkata, 7.4% responden akan membatalkan kad kredit mereka, manakala 8.4% akan menutup akaun bank dan 3.4% tidak bertindak lanjut.
Di samping itu, hanya 6.5% berkata mereka akan melaporkan kejadian itu kepada Pusat Tindak Balas Penipuan Kebangsaan (NSRC).
Berdasarkan pengalaman responden, tinjauan itu berkata mereka menghadapi sebanyak 17,912 percubaan scam.
Sementara itu, tinjauan tersebut juga mendapati sekurang-kurangnya 73% daripada semua responden pernah menerima beberapa bentuk scam atau pernah menjadi mangsa scam.
Kebanyakan mangsa ditipu dengan taktik penyamaran telefon, di mana scammer itu berpura-pura menjadi wakil daripada bank, jabatan kerajaan atau pihak berkuasa penguatkuasaan.
Mangsa biasanya diminta memberikan maklumat peribadi dan butiran bank untuk membuat pembayaran.
Tinjauan itu menyatakan hanya 26.6% responden mengaku mereka tidak pernah menjadi mangsa sebarang percubaan scam.
Laporan itu juga menunjukkan 87% daripada responden kini lebih arif tentang taktik scam berbanding tahun lepas.
Selain itu, 73% responden menunjukkan bahawa mereka lebih mengetahui bagaimana data peribadi boleh digunakan terhadap mereka.
Walau bagaimanapun, tinjauan tersebut juga menunjukkan responden mungkin mempunyai daya tahan rendah terhadap scam kerana hanya separuh daripada mereka akan menyekat nombor telefon scammer dan kebanyakannya tidak melaporkan kejadian itu kepada keluarga atau rakan.
Tinjauan itu turut menyatakan segelintir daripada responden akan menghubungi bank mereka tentang insiden penipuan.
Ia juga menunjukkan 64% daripada respondennya tidak tahu bahawa mereka boleh melaporkan penipuan scam kepada NSRC.
Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata scam telah menjadi satu wabak sosial yang mendesak, beliau mengulas bahawa laporan itu bertujuan bagi menangani jurang dalam mengurangkan scam.
“Laporan Tinjauan Kesedaran Penipuan Kebangsaan 2024 sulung CelcomDigi menyediakan data dan pandangan mengambil tindakan, menjadi panduan langkah strategik dan disasarkan untuk menangani scam,” katanya dalam satu kenyataan.- DagangNews.com