7-Eleven hadapi peningkatan kos jualan dan pengedaran, pendapatan FY24 diunjur susut 7% | DagangNews Skip to main content

7-Eleven hadapi peningkatan kos jualan dan pengedaran, pendapatan FY24 diunjur susut 7%

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Mac - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menyemak turun unjuran pendapatan 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd sebanyak 7% bagi FY24 kesan daripada peningkatan kos jualan dan pengedaran. 

 

Katanya, kumpulan itu sedang berusaha meningkatkan rantaian nilai dan pihaknya percaya margin akan beransur-ansur bertambah selaras dengan peningkatan unit penyimpanan stok (SKU) makanan segar. 

 

Bagaimanapun, perbelanjaan pengguna yang lemah dijangka memberi kesan terhadap penerimaan terhadap produk baharunya.

 

"Pelaksanaan juga penting dalam memastikan lebihan kos tidak berlaku terutamanya pembaziran makanan yang tinggi dan kos buruh," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu pada suku keempat berakhir 31 Disember 2023 (4QFY23) melonjak kepada RM221.1 juta berbanding RM2.65 juta berbanding setahun lalu.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23), kumpulan itu mencatatkan untung bersih RM276.2 juta pada hasil RM2.8 bilion.

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu menyasarkan pembukaan 100 kedai baharu bersama dengan antara 150 hingga 200 pengubahsuaian kedai sedaia ada pada FY24.

 

Sehingga akhir suku keempat 2023, jumlah keseluruhan 7-Eleven adalah sebanyak 2,566 kedai termasuk 247 kedai 7-Cafe.

 

Katanya, keutamaan akan diberikan kepada pembukaan kedai 7-Cafe bagi memanfaatkan rangkaian SKU makanan segar yang dihasilkan daripada komisaris makanannya.

 

"Walaupun jualan makanan segar menyumbang kurang 10% daripada hasil kumpulan, kepelbagaian daripada campuran produk berbanding kepada produk campuran berasaskan tembakau akan menghasilkan pendapatan yang lebih baik daripada margin untung kasar makanan segar dalam jangka panjang," katanya.

 

Maybank IB mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM2.00 sesaham.- DagangNews.com