98% daripada 650,000 permohonan moratorium bersasar diluluskan | DagangNews Skip to main content

98% daripada 650,000 permohonan moratorium bersasar diluluskan

MoF

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 19 Nov. - Sebanyak 98% daripada 650,000 permohonan moratorium bersasar telah diluluskan sejak dilaksanakan bermula 1 Oktober baru-baru ini.

 

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abd Rahim Bakri berkata, kesemua permohonan yang diluluskan itu terdiri daripada pemohon yang ingin melanjutkan moratorium serta mengurangkan jumlah bayaran ansuran.

 

"Bagi moratorium bersasar yang dilaksanakan bermula 1 Oktober, sekitar 650,000 peminjam telah diterima dengan kelulusan sebanyak 98%.

 

Abd Rahim Bakri
Abd Rahim Bakri 

 

"Dan daripada permohonan yang diluluskan tersebut, 40% telah memohon pelanjutan moratorium yang terdiri daripada individu yang baru kehilangan pekerjaan serta perniagaan dalam sektor yang masih mengalami kekangan operasi yang ketara akibat pandemik.

 

"Dan 60% telah memilih pengurangan bayaran ansuran bulanan, mereka terdiri terutamanya daripada peminjam yang pendapatannya berkurang," katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohd. Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) di Dewan Rakyat hari ini.

 

Bermula 1 Oktober 2020, kerajaan telah melaksanakan moratorium secara bersasar khusus kepada individu dan isi rumah atau Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan terjejas sepanjang tahun 2020 hingga 2021.

 

Moratorium secara bersasar itu mempunyai intipati bagi tujuan penangguhan bayaran balik pinjaman selama tiga bulan atau pengurangan bayaran ansuran bulanan sepadan dengan pengurangan pendapatan selama enam bulan.

 

Mohd. Fasiah Mohd Fakeh
Mohd. Fasiah Mohd Fakeh

 

Sementara itu, Abd Rahim turut diajukan dengan soalan tambahan samada kerajaan bercadang supaya institusi perbankan melakukan pengorbanan dengan melanjutkan tempoh moratorium pinjaman memandangkan institusi berkenaan masih mencapai keuntungan.

 

Beliau memberitahu, pihaknya telah menerima banyak cadangan dan isu yang dibangkitkan berkaitan dengan moratorium berkenaan.

 

"Sememangnya banyak isu yang dibangkitkan berkaitan dengan moratorium. Mungkin ramai yang tidak sedar apabila moratorium tamat pada 30 September, kita sebenarnya telah meneruskan moratorium tetapi kepada kumpulan bersasar yang ditujukan kepada individu yang memohon.

 

"Ia sebenarnya bertujuan untuk membolehkan mereka yang benar-benar terkesan untuk dapat mengambil peluang bagi mendapatkan khidmat moratorium ini. Bagaimanapun, cadngan tersebut akan dijawab oleh Menteri Kewangan dalam penggulungan perbahasan nanti," jelas beliau lagi. - DagangNews.com