ABIM gesa sediakan Rang Undang-Undang Gangguan Seksual | DagangNews Skip to main content

ABIM gesa sediakan Rang Undang-Undang Gangguan Seksual

Naib Presiden ABIM (HELWA), Fatin Nur Majdina Nordin

 

KUALA LUMPUR 22 Jun - Hal Ehwal Wanita (HELWA) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa Kerajaan mewujudkan mekanisme yang praktikal dalam menangani isu gangguan seksual, termasuk menyediakan Rang Undang-Undang Gangguan Seksual dalam sidang Parlimen akan datang.

 

Naib Presiden ABIM (HELWA), Fatin Nur Majdina Nordin berkata, perlindungan kepada masyarakat terbanyak harus diutamakan berbanding melindungi individu berkuasa besar dengan moral yang rendah.


Selain itu ujar beliau, pihak sekolah dan universiti atau kolej hendaklah menyedia dan memperkasa Polisi Anti-Gangguan Seksual dan Kod Amalan Anti-Gangguan Seksual bagi menangani kes gangguan seksual.

 

Beliau berkata, ini sekaligus mewujudkan persekitaran yang selamat dan perlindungan untuk pelajar di sekolah dan mahasiswa di universiti.
 

"Sebarang bentuk gangguan seksual tidak seharusnya dinormalisasikan dalam masyarakat. Setiap ahli masyarakat perlu diterapkan dengan nilai hormat menghormati dan kepentingan menjaga maruah sesama manusia," katanya dalam kenyataan di sini.

 

Fatin Nur Majdina berkata, pihaknya memandang serius pendedahan sekumpulan pelajar terhadap salah laku gangguan seksual seorang pensyarah pusat asasi yang tular di media sosial.

 

Sebelum itu, negara juga telah dikejutkan dengan pededahan oleh adik Ain tentang ‘gurauan murah dan keterlaluan’ yang merupakan salah satu bentuk gangguan seksual oleh guru beliau di dalam kelas.



"Rentetan kisah sebegini menunjukkan sebahagian daripada masyarakat masih memperkecilkan isu maruah, adab dan nilai dalam pergaulan seharian.

 

"Lebih-lebih lagi apabila ia berlaku di institusi ilmu. Pelbagai reaksi terhadap isu ini juga memperlihatkan kekeliruan kita dalam melihat isu secara objektif. Pelecehan melalui kata-kata sindiran dan gurauan keterlaluan akan mencetuskan ketidakselesaan serta pencalaran maruah," ujar beliau. - DagangNews.com