ABIM Selangor edar bantuan sebanyak RM700,000 kepada 13,000 mangsa banjir | DagangNews Skip to main content

ABIM Selangor edar bantuan sebanyak RM700,000 kepada 13,000 mangsa banjir

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Jan - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Selangor berjaya mengedarkan bantuan dengan anggaran sebanyak RM700,000 dan disalurkan kepada 13,000 mangsa menerusi Misi Bantuan Banjir ke seluruh negeri itu.

 

Yang Di-Pertua ABIM Selangor, Ahmad Fawwaz Ahmad Shukri berkata, seawal hari pertama, pihaknya sudah menggerakkan bantuan ke seluruh Selangor dan berjaya mengatur sukarelawan untuk bertindak dalam misi itu.

 

Beliau berkata, sebanyak 123 misi telah dijalankan berbentuk barang keperluan, makanan, pembersihan dan sokongan psikologi dengan kekuatan seramai 850 orang sukarelawan daripada pelbagai lapisan umur dan kaum.

 

"Kerja-kerja pembersihan di rumah-rumah, premis kerajaan dan sekolah-sekolah telah menerima bantuan daripada sukarelawan ABIM Selangor dengan kerjasama tujuh NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan beberapa pihak ADUN (Ahli Dewan Undagan Negeri) serta korporat.

 

"Semua yang terlibat dengan musibah akan dibantu tidak kira agama, bangsa dan keturunan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

 

Ahmad Fawwaz berkata, ABIM Selangor akan meneruskan Misi Pasca Banjir untuk tahun 2022 ini dengan harapan mengurangkan kesusahan yang dihadapi rakyat.

 

banjir
Ahmad Fawwaz Ahmad Shukri

 

 

banjir

 

"Senang bersama susah bersama, itulah Keluarga Malaysia yang sebenarnya," katanya. - DagangNews.com