ACCA perkasa nilai kelestarian bersempena Hari Etika global | DagangNews Skip to main content

ACCA perkasa nilai kelestarian bersempena Hari Etika global

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 26 Okt. – Penerapan aspek kelestarian dapat mewujudkan keseimbangan antara kemakmuran ekonomi dan ekosistem semula jadi yang sihat.

Menyedari akan kepentingan kelestarian dalam sesebuah organisasi, Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) memperkenalkan kempen #MyGoZero ACCA sempena Hari Etika Global 2020.

Ini bertujuan memberi peringatan kepada organisasi dan individu berhubung amalan perniagaan yang mengamalkan dan mempromosikan sisa sifar (zero waste) dalam tiga komponen utama iaitu persekitaran (planet), masyarakat (people) dan ekonomi (profit).

Ketua ACCA Malaysia, Edward Ling berkata, hubungan antara pertumbuhan ekonomi dan kemerosotan persekitaran sering dilanda ketegangan, justeru, salah satu kaedah utama untuk membantu melestarikan kemasyarakatan global dan ekosistem bersifat ekologi adalah menerusi pengurangan sisa.

 

Edward Ling
Edward Ling

 

“Demi masa depan kita dan generasi yang akan datang, kita harus mengambil tindakan untuk mematahkan kitaran ini.

“Saya ingin menyeru semua rakyat Malaysia untuk menyumbang kepada kehidupan seharian, perniagaan dan dunia secara positif dengan memulakan peralihan kelestarian menerusi kempen #MyGoZero ACCA,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kempen #MyGoZero ACCA yang akan berlangsung selama tiga bulan itu merupakan usaha serampang dua mata dalam menyumbang kepada masyarakat menerusi tiga aspek.

Pertama, menambah nilai dalam mengurangkan penggunaan sisa menerusi kolaborasi dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Conscious Goods dan Dignity for Children untuk menggalakkan penggunaan pelitup muka kitar semula.

 Kedua, membina pengetahuan kelestarian dengan seminar web bersifat pendidikan secara percuma, artikel-artikel sokongan dan laporan-laporan Profesional Insights ACCA.

Ketiga, menggalakkan perkongsian sosial menerusi pelbagai platform digital untuk menyebarkan mesej-mesej, tips dan pengalaman gaya hidup sifar sisa buangan bersama pemimpin-pemimpin perniagaan dan juga personaliti-personaliti hiburan tempatan.

“Kelestarian harus menjadi sebahagian DNA setiap organisasi, dengan apa yang ditunjukkan oleh pandemik COVID-19 adalah penting untuk organisasi mengamalkan kelestarian yang dapat berdepan cabaran global.

“Dalam bidang perniagaan, ini merangkumi pelbagai inisiatif dari pelaburan teknologi hijau dan menguatkuasakan dasar yang melindungi sumber kolektif kita, untuk memupuk pembangunan pekerja dan melaksanakan garis panduan yang memberi kecekapan dan mencegah pembaziran,” tambahnya. – DagangNews.com