KUALA LUMPUR 26 April - Advancecon Holdings Berhad menerusi anak syarikatnya, Spring Energy Sdn. Bhd. dilantik sebagai subkontraktor untuk pembinaan dan penyiapan kerja tanah subgred seksyen lima projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dengan harga RM11.54 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Advancecon berkata, anak syarikat tidak langsung miliknya 51% Spring Energy menerima surat anugerah daripada China Communications Construction (ECRL) Sdn. Bhd. untuk pelantikan itu.
Kerja-kerja itu akan bermula dari 29 April dan dijangka siap pada September 2023.
Spring Energy pada dasarnya adalah pengendali kuari dan kontraktor kerja-kerja kejuruteraan awam.
Advancecon berkata, subkontrak itu dijangka menyumbang secara positif ke arah pendapatan masa depan kumpulan untuk tempoh subkontrak, dan tidak akan memberi sebarang kesan ke atas modal saham dan pegangan saham pemegang saham yang besar kumpulan itu.
Kumpulan itu berhasrat untuk membiayai subkontrak melalui dana dalaman dan/atau pinjaman luar. - DagangNews.com