Aemulus Holdings berdepan prospek mencabar bagi FY23 kesan kelembapan dalam pasaran mudah alih | DagangNews Skip to main content

Aemulus Holdings berdepan prospek mencabar bagi FY23 kesan kelembapan dalam pasaran mudah alih

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Nov - CGS-CIMB Research menjangkakan prospek mencabar buat Aemulus Holdings Berhad pada FY23 kesan daripada kelembapan dalam pasaran mudah alih dan tablet dalam tempoh enam bulan akan datang.

 

Firma itu juga menyemak turun unjuran pendapatan sesaham (EPS) untuk FY23 dan FY24 sebanyak 30% dan 43% didorong kelembapan industri dan semakan semula inventori.

 

Katanya, peranti mudah alih dan aplikasi tablet menyumbang 41% kepada jualan kumpulan bagi FY22.

 

"Kami mendapati bahawa nilai kontrak semasa kumpulan berada pada paras RM70 juta disumbangkan daripada segmen automotif dan pengesanan imej CMOS (CIS) setakat 15 November 2022.

 

"Sementara itu, kami melihat ruang untuk pemulihan permintaan industri yang dipercepatkan terutamanya dengan potensi pelonggaran sekatan perjalanan dan kuarantin di China pada FY23," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, hasil bagi 9MFY22 meningkat 19.5% dari tahun ke tahun kepada RM73 juta didorong jualan penguji yang lebih tinggi daripada segmen mudah alih dan tablet, automotif dan CIS yang membentuk 83% daripada hasil FY22.

 

Katanya, secara keseluruhan, untung bersih teras melonjak 40% dari tahun ke tahun daripada RM11.9 juta pada FY21 kepada RM16.6 juta pada FY22.

 

"Kami menyemak turun penarafan kumpulan itu kepada 'pegang' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah iaitu 42 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com