AEON Credit catat untung selepas cukai RM75.48 juta, naik 47% | DagangNews Skip to main content

AEON Credit catat untung selepas cukai RM75.48 juta, naik 47%

 

KUALA LUMPUR 28 Sept – AEON Credit Service (M) Bhd mencatat keuntungan selepas cukai 45.7% lebih tinggi kepada RM75.48 juta pada suku kedua berakhir 31 Ogos 2021, daripada RM51.81 juta pada suku kedua tahun kewangan sebelumnya.

 

Penyedia perkhidmatan kredit itu meraih pendapatan lebih tinggi RM374.48 juta pada suku dikaji, berbanding RM363.97 juta yang dicatatkan tempoh sama tahun sebelumnya, di sebalik persekitaran perniagaan mencabar.

 

AEON Credit dalam satu kenyataan, berkata prestasi lebih baik itu didorong pendapatan faedah lebih tinggi dan perbelanjaan operasi lebih rendah terutama disebabkan kerugian rosot nilai ke atas hutang pembiayaan lebih rendah berjumlah RM92.27 juta berbanding RM112.01 juta pada suku kedua tahun lalu.

 

Bagaimanapun, jumlah urus niaga dan pembiayaan AEON Credit menyusut sebanyak 26.3% kepada RM708.83 juta pada suku dikaji berbanding RM962.39 juta suku kedua tahun lalu dipengaruhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya pada 1 Jun lalu, PKP Diperketatkan (PKPD) di Lembah Klang mulai 3 Julai 2021 dan seterusnya Pelan Pemulihan Nasional (PPN) di mana kebanyakan negeri masih berada di bawah Fasa 1 dan Fasa 2, selain hanya sektor ekonomi penting terpilih sahaja yang dibenarkan beroperasi.

 

Jumlah hutang pembiayaan kasar menyusut sebanyak 6.2% kepada RM9.63 bilion pada suku kedua tahun kewangan 2022 berbanding RM10.26 juta pada suku sama tahun kewangan sebelumnya disebabkan persekitaran ekonomi mencabar akibat pandemik.

 

Nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) berada pada 2.24% daripada 1.95 % yang dicatatkan setakat 31 Ogos 2020.

 

Bagi tempoh setengah tahun, pendapatan AEON Credit meningkat 4.2 % kepada RM785.44 juta berbanding RM753.85 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun sebelumnya terutamanya disebabkan oleh pendapatan faedah yang lebih tinggi selepas pendapatan tahun sebelumnya dipengaruhi oleh kerugian penyelarasan bersih Hari-Pertama berkaitan dengan Program Bantuan AEON sebanyak RM28.41 juta.

 

Bagi tempoh enam bulan pertama berakhir 31 Ogos 2021, PAT AEON Credit melonjak 205.5 % kepada RM238.58 juta.

 

Berdasarkan tahun kewangan berakhir 28 Februari 2022, AEON Credit mengisytiharkan dividen interim satu peringkat 28.50 sen sesaham yang dicadangkan oleh Lembaga Pengarah untuk dibayar pada 3 November 2021 dengan nisbah pembayaran dividen berjumlah 30.5%. – DagangNews.com