Aeon Credit Service raih 2 anugerah sebagai pengiktirafan kepimpinan ESG | DagangNews Skip to main content

Aeon Credit Service raih 2 anugerah sebagai pengiktirafan kepimpinan ESG

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Dis - AEON Credit Service (M) Berhad menerima dua anugerah berprestij bagi mengiktiraf komitmen berterusan terhadap pertumbuhan perniagaannya sambil mengekalkan keseimbangan antara keuntungan serta amalan perniagaan yang mampan.

 

Sebagai pengiktirafan terhadap kedudukan kepimpinan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) di Malaysia dalam siri Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia sejak 2015, AEON Credit merupakan pemenang Perak “The Most Consistent Performer Over 5 Years” di bawah Kategori ekuiti di Anugerah ESG The Edge Malaysia 2022.

 

The Edge Malaysia, dengan kerjasama Bursa Malaysia, FTSE Russell, dan Morningstar memulakan Anugerah ESG The Edge Malaysia 2022 yang bertujuan mengiktiraf pemimpin ESG dalam kalangan syarikat senaraian awam dan firma pengurusan aset di Malaysia.

 

Kumpulan juga dianugerahkan dengan ASEAN Asset Class pada Anugerah Kad Skor Tadbir Urus Korporat ASEAN (ACGS) 2021 atas usahanya dalam mengamalkan tadbir urus korporat yang baik merentas strategi perniagaan serta operasi kumpulan.

 

Pengarah Urusan AEON Credit,  Daisuke Maeda berkata, pihaknya gembira menerima anugerah berprestij ini kerana ia adalah bukti pengukuhan piawaian tadbir urus korporat kumpulan.

 

"Pada masa sama, kami juga sedang berusaha keras dalam meningkatkan amalan ESG kumpulan selain mengguna pakai amalan kemampanan kami yang sejajar dengan Matlamat Pembangunan Kelestarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG) ke dalam strategi perniagaan dan operasi harian.

 

"Ini mencerminkan komitmen jangka panjang kumpulan bagi mengguna pakai amalan ESG terbaik yang akan mewujudkan nilai jangka panjang dan impak positif bagi membina masa depan yang mampan untuk semua," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

AEON Credit telah menubuhkan Jawatankuasa Kelestarian Pengurusan (MSC) dan melantik perunding ESG untuk menyokong pelaksanaan kemampanan kumpulan serta mewujudkan pelan hala tuju untuk tiga tahun.

 

Sehingga kini, Pelan Hala Tuju ESG telah pun dirumuskan dengan kumpulan melengkapkan kedua-dua profil pelepasan karbon Skop 1 dan 2. - DagangNews.com