AEON tampilkan Koleksi #MelRoars rekaan Melinda Looi bersempena Tahun Baharu Cina | DagangNews Skip to main content

AEON tampilkan Koleksi #MelRoars rekaan Melinda Looi bersempena Tahun Baharu Cina

 

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 12 Jan -  Bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina, AEON Co. (M) Berhad menampilkan koleksi eksklusif pereka fesyen tanah air yang tersohor, Melinda Looi bagi membolehkan orang ramai merasai pengalaman gabungan warisan dan fesyen yang terbaik.

 

Koleksi yang dikenali sebagai Koleksi #MelRoars diilhamkan melalui gaya dan penghormatan Tahun Harimau dengan tiga jenis corak inspirasi “Panthera tigris” yang digabungkan dengan pengaruh Peranakan: jalur inspirasi batik eksentrik, corak geometri jubin Peranakan yang terserlah dan penjajaran corak bunga klasik yang halus dengan ekspresi harimau yang tersembunyi.

 

Ketua Pegawai Dagangan dan Pemasaran AEON, Low Ngai Yuen berkata, sempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina kali ini, pihaknya merancang untuk menampilkan Koleksi #MelRoars dipadankan dengan sambutan musim terbaik AEON. 

 

"Beliau adalah Presiden Persatuan Pereka Rasmi Malaysia (Malaysian Official Designers Associations) dan peluang bekerjasama dengan beliau bukan satu kebetulan.

 

"Rekaan bentuk avant-garde dan gaya retronya didokumentasikan dengan baik, Koleksi #MelRoars memberikan sentuhan warisan yang tersendiri untuk musim perayaan ini dan ia melambangkan kebanggaan kami," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pertunjukan fesyen Koleksi #MelRoars itu dirasmikan oleh Ketua Pegawai Operasi AEON, Sunny Setiawan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Optimax Specialist Centre, Sandy Tan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Loli Communications Sdn. Bhd., Yan Lim.

 

aon

 

aonaon

 

Koleksi #MelRoars boleh didapati di 11 cawangan AEON di seluruh Malaysia di Taman Maluri, Bandar Utama, Mid Valley, Bandar Puchong, Metro Prima, Seremban 2, Tebrau City, Cheras Selatan, Queensbay, Bukit Tinggi, dan Bandaraya Melaka serta dalam talian di AEON Lifestyle. - DagangNews.com