Affin Bank taja operasi Interceptor 002 bagi projek pembersihan, pemulihan Sungai Klang | DagangNews Skip to main content

Affin Bank taja operasi Interceptor 002 bagi projek pembersihan, pemulihan Sungai Klang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Mei - Affin Bank Bhd menaja projek pembersihan serta pemulihan Sungai Klang menerusi operasi Interceptor 002, selaras dengan inisiatif amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kumpulan itu.

 

Inisiatif itu adalah di bawah projek Gerbang Maritim Selangor, dengan kerjasama Landasan Lumayan Sdn Bhd, anak syarikat Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI). 

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, pihaknya berbesar hati untuk terlibat dalam inisiatif itu bersama LLSB dan The Ocean Cleanup bagi  membersihkan dan memulihkan Sungai Klang. 

 

Katanya, menerusi perkongsian itu, pihaknya akan bekerjasama rapat bagi bertukar pengetahuan, data dan pandangan dalam memacu kemajuan ke arah objektif bersama ini.

 

"Ini selaras dengan Pelan AFFIN Axelerate 2028 (AX28), tonggak Perbankan Bertanggungjawab dengan impak ESG. Ia mencerminkan semangat kami untuk memberikan perkara yang lebih baik," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

affin
Datuk Wan Razly Abdullah

 

Interceptor 002 yang dibangunkan oleh The Ocean Cleanup, adalah yang pertama daripada dua rumusan pembersihan sungai berteknologi tinggi yang kini digunakan di Malaysia.

 

Sistem autonomi itu menggabungkan pemprosesan pintar dan mekanik berkuasa solar yang terus mengumpul sisa plastik serta serpihan lain dari sungai menggunakan tali sawat penghantar. 

 

Interceptor 002 membantu meningkatkan kecekapan pembersihan sedia ada, menjadikan pembersihan lebih cepat dan lebih berskala.

 

Pengarah Urusan Landasan Lumayan, Syaiful Azmen Nordin berkata, pihaknya amat berbesar hati dengan penertaan Affin sebagai rakan korporat baharu dalam menyokong usaha pemulihan sungai itu. 

 

Beliau berkata, bagi mencapai hasil mampan yang boleh meningkatkan kesejahteraan masyarakat dalam jangka panjang, seperti meningkatkan kebersihan, membolehkan ekosistem biologi yang teguh di sekitar Sungai Klang serta meningkatkan prospek ekonomi, adalah penting untuk mengadakan kerjasama antara pihak swasta dan awam.

 

"Kami berterima kasih kepada syarikat swasta seperti Affin atas komitmen mereka dalam memberi impak positif dalam komuniti dan berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada usaha ini," katanya. - DagangNews.com