Affin Hwang IB jangka faktor luaran beri pengaruh besar kepada beberapa sektor dalam pasaran selepas PRU15 | DagangNews Skip to main content

Affin Hwang IB jangka faktor luaran beri pengaruh besar kepada beberapa sektor dalam pasaran selepas PRU15

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Nov - Affin Hwang Investment Bank (Affin Hwang IB) tidak menjangkakan sebarang jualan besar-besaran di pasaran saham selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) namun menjangkakan beberapa sektor berdepan risiko dengan faktor luaran memiliki pengaruh besar di dalam pasaran.

 

Firma itu berkata, ketiadaan kesinambungangabungan pimpinan gabungan yang diketuai Barisan Nasional (BN) mungkin dilihat sebagai ketidaktentuan untuk pasaran, tetapi kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) dijangka lebih baik berbanding pasca PRU14.

 

"Keadaan itu mungkin mengurangkan peluang jualan besar-besaran dalam pasaran saham melainkan kerajaan Pakatan Harapan menjadi kenyataan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Selain itu, Affin Hwang IB menyatakan bahawa kemenangan PAS mungkin membimbangkan kerana beberapa dasarnya tidak mesra pasaran.

 

Firma itu berkata, kerajaan baharu perlu menangani strategi untuk meningkatkan perniagaan dan sentimen pengguna Malaysia sambil menggalakkan trend pertumbuhan pelaburan swasta terutama dalam menarik pelaburan langsung asing (FDI).

 

“Pasaran juga akan memberi tumpuan kepada strategi kerajaan yang baru dipilih untuk membetulkan kedudukan defisit fiskal dan untuk meneruskan laluan penyatuan fiskal dalam pelan semakan pembaharuan.

 

"Kami percaya sebarang pelan tindakan pantas untuk menangani kebimbangan kedudukan defisit akan membantu melindungi dan mengekalkan penarafan kredit negara oleh agensi penarafan antarabangsa,” katanya.

 

Bagaimanapun, firma itu terus melihat risiko untuk aliran keluar modal selanjutnya dengan dolar Amerika Syarikat (AS) semakin mengukuh dan mereka mengekalkan penarafan "neutral" untuk FBM KLCI dengan sasaran akhir tahun tidak berubah pada 1,545 berdasarkan PE sebanyak 15.3 kali.

 

“Tidak kira kerajaan campuran, akhirnya tumpuan perlu diberikan kepada mengurus ekonomi dan mengemudi negara daripada risiko kemelesetan global.

 

"Kami berpendapat persekitaran luaran akan mempunyai pengaruh yang lebih besar di pasaran berbanding keputusan PRU15 baru-baru ini,” katanya. - DagangNews.com