KUALA LUMPUR 17 Jan - Affin Hwang Capital optimis terhadap sektor penjagaan kesihatan dan percaya permintaan untuk sektor itu kekal meningkat dengan pengusaha hospital dan syarikat farmaseutikal akan terus mendapat manfaat.
Firma itu berkata, penyedia hospital terus mencatatkan peningkatan jumlah pesakit dengan kesedaran kesihatan dalam kalangan orang ramai terus meningkat selepas wabak.
Katanya, jumlah pesakit dalam IHH Healthcare Berhad dan KPJ Healthcare Berhad telah pulih ke tahap pra pandemik untuk hospital Malaysia, berikutan kebimbangan jangkitan COVID-19 yang semakin berkurangan.
"Kami percaya perlu ada peningkatan lebih lanjut kepada jumlah semasa memandangkan peningkatan kesedaran kesihatan selepas wabak.
"Sehubungan itu, kami lebih optimistik terhadap usaha KPJ dalam mengoptimumkan struktur kosnya selain menambah baik jumlah pesakit," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, pasaran farmaseutikal negara dijangka berkembang hampir 7% pada 2023, daripada asas tinggi pada 2022 (naik 20%).
"Kami percaya penyebaran berterusan varian COVID-19 yang lebih ringan dan peningkatan kesedaran kesihatan akan terus memberi manfaat kepada syarikat farmaseutikal seperti Apex Healthcare Berhad.
"Syarikat itu juga baru-baru ini menjalankan pengembangan, membolehkannya memanfaatkan peningkatan dalam permintaan pasaran," katanya.
Bagi sektor penjagaan kesihatan, firma itu berkata, risiko penurunan utama adalah disebabkan kekurangan jururawat yang akan mengehadkan kapasiti operasi hospital.
Risiko kelemahan lain termasuk tekanan kos yang lebih tinggi daripada jangkaan, kelembapan dalam intensiti hasil hospital bagi setiap pesakit selain jumlah pesakit dan kekurangan bahan mentah untuk syarikat farmaseutikal.
Firma itu mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor itu kerana sifat defensif dan keupayaannya berdepan tekanan kos.
Memandangkan sektor penjagaan kesihatan sangat dikawal selia, persaingan baharu harus dihadkan dalam jangka masa terdekat.
"Kami percaya minat pelabur dalam sektor itu akan meningkat apabila risiko pendapatan dalam sektor lain berterusan," katanya.
Pilihan utama firma itu ialah IHH Healthcare (harga sasaran (TP): RM7) memandangkan tumpuannya kepada pesakit premium serta Apex Healthcare (TP: RM3.90) disebabkan peningkatan permintaan dalam produk farmaseutikal. - DagangNews.com