Ageson Net dilantik sebagai pengendali 4,000 mesin layan diri pintar Kobena | DagangNews Skip to main content

Ageson Net dilantik sebagai pengendali 4,000 mesin layan diri pintar Kobena

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Okt - Ageson Berhad menerusi anak syarikatya, Ageson Net Sdn. Bhd. (ANSB) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Koperasi Belia Nasional Berhad (Kobena) bagi melantik ANSB sebagai pengendali 4,000 mesin layan diri pintar milik koperasi itu.

 

Dalam satu pemakluman Ageson kepada Bursa Malaysia, menerusi MoU itu, kedua-dua pihak menyasarkan untuk mendapatkan anggaran hasil RM2.3 bilion setahun daripada penjualan produk daripada mesin layan diri pintar itu.

 

"Menerusi pelantikan itu, ANSB berhak mendapatkan 5% daripada sasaran hasil yang berjumlah lebih kurang RM115 juta setahun," katanya.

 

Menerusi pernjanjian itu juga, ANSB akan menyediakan perkhidmatan pengurusan mesin layan diri pintar termasuk tetapi tidak terhad kepada pengurusan produk rucit yang akan dijual dan rangkaian penyepaduan di dalam mesin berkenaan.

 

Syarikat itu juga akan mendapatkan lokasi sesuai untuk pemasangan dan perniagaan mesin layan diri pintar itu.

 

Perjanjian itu akan berkuat kuasa bermula 3 oktober 2022 dan kekal untuk tempoh enam bulan manakala surat pelantikan rasmi perlu diberikan dalam tempoh berkenaan. 

 

"MoU itu boleh dilanjutkan untuk tempoh tertentu seperti yang dipersetujui secara bertulis oleh kedua-dua pihak dan mereka juga boleh menamatkan kerjasama itu dengan memberikan notis bertulis dalam tempoh 30 hari daripada cadangan itu dicadangkan," katanya.

 

MoU berkenaan tidak akan memberikan sebarang kesan ke atas modal saham terbitan dan pegangan saham pemegang saham utama syarikat.

 

Ia juga dijangka tidak mempunyai sebarang kesan ke atas aset bersih, pendapatan sesaham dan penggearan Ageson dan anak-anak syarikatnya. - DagangNews.com