Agong isytihar darurat gantung PRN Sarawak hingga Februari 2022 | DagangNews Skip to main content

Agong isytihar darurat gantung PRN Sarawak hingga Februari 2022

KUALA LUMPUR 31 Julai - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan Proklamasi Darurat untuk menggantung Pilihan Raya Negeri Sarawak sehingga 2 Februari 2022.

 

Titah baginda, Proklamasi Darurat diisytiharkan bagi mengelak wabak COVID-19 terus merebak, menurut laporan Bernama.

 

DUN Sarawak sepatutnya dibubarkan pada 7 Jun lalu, namun ia tidak dapat dilaksanakan kerana tertakluk kepada Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

 

Berikutan itu, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sarawak kekal sehingga DUN dibubarkan mengikut Perkara 18(1) Perlembagaan Negeri Sarawak.

 

Pada Jumaat, sebanyak 450 kes positif COVID-19 baharu dilaporkan dengan sembilan lagi kluster baharu dikesan di Sarawak dengan tujuh daripadanya melibatkan kluster komuniti, manakala dua adalah kluster tempat kerja menjadikan jumlah kluster aktif di negeri ini sebanyak 84.

 

BACA JUGA : Proklamasi darurat di Sarawak elak penularan Covid-19, kata PMO

 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan tujuh kluster komuniti berkenaan ialah Kluster Bunga Rampai, Kluster Kampung Paon Rimu, Kluster Kerina, Kluster Kampung Sungai Duuh, Kluster Sungai Sangan, Kluster Peligong dan Kluster Tanjung Tuang.

 

“Kluster Bunga Rampai melibatkan empat keluarga di sebuah kampung terletak di Banjaran Serapi, Bau dengan 35 orang didapati positif termasuk kes indeks hasil saringan 96 individu.

 

“Kluster Kampung Paon Rimu pula melibatkan penduduk di Kampung Paon Rimu, Serian dengan 21 individu didapati positif termasuk kes indeks hasil saringan 62 individu,” menurut JPBN. - DagangNews.com