Ahli Parlimen BN, PN, GPS dan PAS ke Istana Negara pagi ini, menandakan PH `tewas lagi' | DagangNews Skip to main content

Ahli Parlimen BN, PN, GPS dan PAS ke Istana Negara pagi ini, menandakan PH `tewas lagi'

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Ahli-ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan ke Istana Negara pagi ini bagi mengesahkan surat akuan bersumpah (SD) sokongan mereka kepada calon Perdana Menteri.

 

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung UMNO yang juga Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan malam tadi, dengan pergerakan akan mengikut parti bermula jam 10 pagi.

 

"Ahli Parlimen ke Istana Negara hari ini. 10 pagi GPS, 11 pagi BERSATU (Parti Pribumi Bersatu Malaysia); 2 petang UMNO; 3 petang UMNO/ BN dan 4 petang PAS," katanya..

 

Difahamkan pergerakan Ahli Parlimen BN dan UMNO esok akan bergerak ke Istana Negara dalam dua kumpulan menaiki bas khas dari ibu pejabat parti itu di Menara Dato' Onn, di sini.

 

Difahamkan ia bermakna Pakatan Harapan gagal sekali lagi untuk membuktikan mereka memiliki kelebihan majoriti, walaupun hampir saban hari mendakwa sedemikian daripada pelbagai sumber.

 

Sehingga malam tadi, sumber-sumber parti PH memberitahu, lapan ahli Parlimen Warisan tidak mengemukakan akuan bersumpah (SD) menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim, sama seperti mengambil pendirian `berkecuali'.

 

''Perselisihan dan ketidakpercayaan pucuk pimpinan Warisan terhadap Anwar memuncak apabila pada satu ketika rundingan menamakan Shafie Apdal sebagai perdana menteri tetapi sokongan tersebut berubah dalam beberapa jam kemudian. Ini mendorong Warisan memilih untuk tidak turut serta mengemukakan SD,'' ujarnya.

 

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil mengesahkan Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan (PH) tidak menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, di Istana Negara, hari ini.

 

Fahmi yang dihubungi BH Online berkata, Ahli Parlimen PKR tidak menerima jemputan daripada pihak istana untuk menghadap baginda bagi mengesahkan surat akuan (SD) sokongan kepada calon Perdana Menteri.

 

"Tidak dapat jemputan. Itu kena tanya pihak istana," katanya, di sini hari ini.

 

Sebelum ini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disebut-sebut sebagai calon Perdana Menteri baharu bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin. - DagangNews.com