Ahli Parlimen penentu keabsahan kedudukan Muhyiddin, kata Annuar Musa | DagangNews Skip to main content

Ahli Parlimen penentu keabsahan kedudukan Muhyiddin, kata Annuar Musa

KUALA LUMPUR 13 Ogos -  Ahli Parlimen mempunyai hak mutlak bagi menentukan kedudukan Perdana Menteri yang dijalankan menerusi prosedur tertentu ketika sidang Dewan Rakyat.

 

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, berkata setiap Ahli Parlimen mempunyai hak dan kebebasan melaksanakan tanggungjawab mereka apabila sidang diadakan.

 

Katanya, dalam soal undi percaya terhadap Perdana Menteri, ia adalah proses penting dan tidak boleh dirumus menerusi andaian atau spekulasi sehinggalah ia benar-benar berlaku di dalam Dewan Rakyat.

 

"Terdapat beberapa laporan berita mengenai Yang Dipertua Dewan Rakyat dikatakan memberi atau melaporkan angka jumlah sokongan (kepada Perdana Menteri) itu. Ternyata ia satu perbuatan salah dan mengelirukan.

 

"Yang Dipertua Dewan Rakyat hendaklah bertanggungjawab mengikut kuasanya seperti dalam Perlembagaan dan tidak boleh melakukan sesuatu di luar peraturan.

 

"Sebarang angka dirumus Yang Dipertua tanpa proses undian dalam Dewan Rakyat adalah bersifat andaian, spekulatif dan tidak konklusif serta boleh dicabar," katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini, lapor Berita Harian.

 

Beliau mengulas laporan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azizan Harun dikatakan menyerahkan surat kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai jumlah sokongan Ahli Parlimen diperoleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

Muhyiddin sebelum ini menegaskan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri serta kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan ditentukan menerusi usul undi percaya yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat, September ini.

 

Sementara itu, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, menerusi undian di Dewan Rakyat, Perdana Menteri mungkin tidak mendapat undi penuh dari blok kerajaan dan tidak mustahil juga boleh mendapat undi dari pembangkang.

 

"Kemungkinan berlaku ketidakhadiran atau hadir (Ahli Parlimen) tetapi tidak mengundi juga boleh berlaku.

 

"Justeru Perdana Menteri sudah menetapkan untuk kemukakan usul percaya dalam sidang biasa yang sudah dijadualkan, maka semua pihak harus bersabar dan menerima proses itu yang menepati Perlembagaan serta tepat dari segi Konvensyen Demokrasi Berparlimen," katanya. - DagangNews.com