PARIS 21 Jun - AirAsia akan menerima 19 kapal terbang baharu pada tahun ini sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengembangkan perniagaannya.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkatam pesawat Airbus 320 yang pertama akan tiba pada bulan hadapan.
Katanya, penambahan 19 kapal terbang baharu itu adalah merangkumi empat pesawat Frontier
"Semasa COVID-19 kami mahu terus hidup dan kini berada di fasa perkembangan. Saya berbangga kerana kami berkembang semula selepas COVID-19 kerana suatu ketika dahulu kami hanya memikirkan untuk bertahan, kami juga berbincang untuk mendapatkan lebih banyak pesawat baharu.
"Matlamat saya seterusnya adalah untuk mendapattkan 300 pesawat dan membawa 150 juta penumpang.
"AirAsia Kemboja akan bermula pada Oktober ini dan berharap dapat mengembangkan operasi di Indonesia serta Filipina dengan Airbus A320 yang akan membantu rangkaian kami menjadi lebih besar," katanya selepas Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax 2023 (Skytrax), di sini.
Terdahulu, AirAsia dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia di Skytrax buat kali ke-14 berturut-turut.
Beliau berkata, AirAsia juga menantikan perniagaan kargo dan logistiknya, Teleport untuk menerima yang pertama daripada tiga kapal pengangkut A321F khusus pada Julai ini bagi meningkatkan jumlah dan kelajuan bagi penghantaran rentas sempadan di rantau ini.
Mengenai kemungkinan AirAsia X menyambung semula operasi ke Eropah, beliau berkata, ia tiada dalam rancangan mereka buat masa ini kerana tumpuan diberikan kepada Asia.
"Eropah perlu datang pada satu peringkat tetapi ia tidak penting sekarang kerana kami sedang membina semula. Kami akan ke Eropah, Amerika dan Afrika apabila tiba masanya," katanya.
Sementara itu, beliau menyifatkan 2023 sebagai tahun penting bagi AirAsia untuk bangkit semula selepas dibelenggu isu baru-baru ini termasuk hutang dan bayaran balik.
"Sekarang kami mempunyai 170 pesawat terbang dan 220 terbang ke langit menjelang akhir tahun.
"Kira-kira dua tahun lalu, kami mempunyai lebih 200 pesawat yang tidak dapat beroperasi kerana wabak COVID-19 dan kini kami berada di landasan bangkit semula," katanya. - DagangNews.com