MAM Malaysia, Fidelity International lancarkan dana pelbagai aset eksklusif bagi pertumbuhan dan kemampanan portfolio | DagangNews Skip to main content

MAM Malaysia, Fidelity International lancarkan dana pelbagai aset eksklusif bagi pertumbuhan dan kemampanan portfolio

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 27 Nov - Maybank Asset Management Sdn Bhd (MAM Malaysia) melancarkan MAMG Alpha Capital & Income Opportunities Fund, satu dana penyelesaian pelbagai aset yang inovatif dan direka untuk meluaskan kepelbagaian portfolio serta memberi pertumbuhan pendapatan dan modal. 

 

Dana itu yang disalurkan ke dalam FAST - Maybank Alpha Capital & Income Opportunities Fund (Dana Sasaran) oleh Fidelity International (Fidelity), menawarkan akses kepada kepelbagaian pelaburan yang lebih besar.

 

Direka dengan tujuan pertumbuhan modal menerusi pelaburan yang lebih pelbagai, ia menggabungkan strategi Maybank dalam kitaran pasaran bersama pengagihan aset taktikal dinamik Fidelity yang menumpukan kepada penjanaan alfa sekali gus mengurangkan risiko kepada pelabur.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MAM Malaysia, Hisham Hamzah berkata, kerjasama dengan Fidelity International adalah satu langkah besar dalam menyediakan rumusan pelaburan inovatif yang disesuaikan dengan keperluan khusus pelanggan. 

 

"Dana MAMG Alpha Capital & Income Opportunities direka untuk menggabungkan kepakaran global, menawarkan peluang keemasan di pasaran yang menambah kekayaan dan menyediakan perlindungan merentasi kitaran pasaran berbeza. 

 

"Eksklusif untuk pelanggan Maybank, dana ini menunjukkan komitmen kami dalam memberi penyelesaian pelaburan yang selaras dengan matlamat kewangan jangka panjang mereka," katanya dalam satu kenyataan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Community Financial Services, Syed Ahmad Taufik Albar pula berkata, Maybank amat berbangga menjadi bank tempatan pertama yang menawarkan dana pelbagai aset global yang memanfaatkan kepakaran peruntukan aset strategik dalaman.

 

"Sebagai pengedar eksklusif dana ini, kami dapat terus menyediakan penyelesaian pelaburan yang disesuaikan kepada pelanggan kami dengan pendedahan yang pelbagai dan peluang pendapatan yang dipertingkatkan, seiring dengan misi Maybank untuk memberikan penyelesaian inovatif untuk keperluan pelanggan.

 

"Melalui rangkaian pengedaran kami yang luas dan rekod prestasi yang terbukti, kami yakin dengan keupayaan kami untuk memberikan perkhidmatan dan sokongan yang luar biasa," ujarnya.

 

Tambah beliau, dana terbabit telah menarik minat yang besar di Singapura, dengan mencapai saiz RM331.02 juta pada akhir Oktober 2024. 

 

Pengarah Urusan Fidelity International di Asia Pasifik, Damian Mooney menyifatkan, Asia Tenggara ialah fokus utama syarikatnya di mana Fidelity telah berkhidmat kepada pelanggan di rantau tersebut sejak 20 tahun lalu. 

 

"Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan Maybank dalam menyediakan satu produk inovatif kepada para pelabur di Malaysia dan luar negara. 

 

"Produk ini akan menambah baik daya tahan portfolio dan memperkukuhkan masa depan kewangan mereka. Kerjasama ini membolehkan kami menggabungkan kepakaran global Fidelity selama berdekad-dekad dalam pengalaman pengurusan pelaburan, bersama-sama rangkaian luas Maybank dan visinya dalam pasaran Asia Tenggara," ujarnya.

 

Dana itu direka untuk menghasilkan pulangan positif dalam keadaan pasaran yang pelbagai dan bertindak sebagai perlindungan dalam pasaran yang merudum.

 

Ia menawarkan pertumbuhan modal jangka panjang dengan melabur semula dividen untuk memanfaatkan faedah kuasa kompaun dan aliran dividen bulanan secara tetap.

 

Mata wang asas dana berkenaan adalah USD dan ditawarkan dalam enam kelas yang menggunakan matawang berbeza iaitu USD, MYR dan MYR (lindung Nilai). 

 

Jumlah pelaburan minimum ialah USD1,000 untuk kelas USD, serta RM1,000 untuk kelas MYR dan MYR (lindung Nilai). - DagangNews.com