AirAsia kaji pelaburan dalam AirAsia India | DagangNews Skip to main content

AirAsia kaji pelaburan dalam AirAsia India

 

 

 

KUALA LUMPUR 23 Nov. - AirAsia Group Bhd. sedang mengkaji pelaburannya dalam syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia India yang mengalami masalah aliran tunai dan menyebabkan tekanan kewangan. 

 

Minggu lalu, sebuah akhbar tempatan di India yang berbahasa Inggeris, The Hindu melaporkan AirAsia turut menyatakan kebimbangannya terhadap cabangnya di Jepun dan India. 

 

Menurutnya, AirAsia India, iaitu usaha sama antara AirAsia Investment Ltd. dan Tata Sons yang memulakan operasi lebih 6 tahun lalu, selama ini telah berdepan keadaan tidak menentu. 

 

Akhbar itu memetik Presiden (Syarikat Penerbangan) AirAsia Group, Bo Lingam berkata, perniagaan di Jepun dan India berdepan masalah aliran tunai, hingga menyebabkan kumpulan berdepan tekanan kewangan. 

 

"Kawalan kos dan mengurangkan perbelanjaan akan kekal menjadi keutamaan kami terutama dengan penutupan AirAsia Jepun baru-baru ini dan semakan berterusan kami terhadap pelaburan di AirAsia India," katanya dalam laporan akhbar itu yang dipetik TheEdge hari ini. 

 

Jelas laporan itu lagi, statistik operasi bagi suku ketiga AirAsia menunjukkan dengan jelas, pemulihan yang pantas sedang dilaksanakan. 

 

"Malah, terdapat penambaikan yang besar dari kumpulan syarikat penerbangan tempatan di seluruh metrik utama berbanding suku sebelumnya.

 

"Ini termasuklah peningkatan 36% jumlah penumpang yang dibawah AirAsia Malaysia, 79% peningkatan penumpang AirAsia India, dan 65% AirAsia Thailand," katanya. 

 

Bagaimanapun, menurut akhbar itu, AirAsia India dan Tata Sons tidak mahu mengulas mengenai isu ini. 

 

AirAsia India yang berpangkalan di Bengaluru terbang ke 19 destinasi seluruh dunia menggunakan 31 pesawat Airbus A320. Syarikat itu memulakan operasi pada 12 Jun 2014. - DagangNews.com