AirAsia lanjut tempoh sah Akaun Kredit hingga 3 tahun | DagangNews Skip to main content

AirAsia lanjut tempoh sah Akaun Kredit hingga 3 tahun

 AirAsia lanjut tempoh sah Akaun Kredit hingga 3 tahun

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 Julai - AirAsia melanjutkan tempoh sah Akaun Kredit kepada tiga tahun (36 bulan) dari tarikh kredit untuk semua tetamunya yang mempunyai akaun kredit sah yang dikreditkan sebelum 30 Jun 2021. 

 

Semua Akaun Kredit yang dikreditkan sebelum tarikh 30 Jun telah dilanjutkan secara automatik bagi kemudahan tetamu.

 

Ketua Pegawai Bahagian Kebahagiaan Pelanggan airasia Group, Adam Geneave berkata, pihaknya sentiasa mengutamakan keperluan para tetamu dan memahami bahawa rancangan perjalanan yang mungkin telah berubah mengikut keadaan semasa.

 

"Oleh itu, kami berbesar hati untuk melanjutkan tempoh sah Akaun Kredit hingga tiga tahun di samping menawarkan fleksibiliti kepada mereka untuk membuat tempahan masa hadapan pada bila-bila masa, untuk mana-mana destinasi dan penerbangan pilihan mereka yang dikendalikan oleh AirAsia termasuklah pada waktu puncak.

 

"Akaun Kredit ini juga boleh digunakan untuk membayar elaun bagasi, pemilihan tempat duduk, tempahan hidangan dalam penerbangan, insurans, cukai dan fi kerajaan serta perkhidmatan pilihan lain. 

 

"Selain itu, Akaun Kredit ini juga tidak terhad kepada tetamu yang membuat tempahan asal dan boleh digunakan untuk membayar penerbangan tetamu lain," katanya dalam satu kenyataan.

 

Tempoh lanjutan tersebut hanya sah bagi tempahan dalam talian yang dibuat melalui airasia.com atau airasia Super App. 

 

Namun, tempahan yang dibuat berkumpulan atau melalui ejen pelancongan, para tetamu boleh merujuk kepada ejen tempahan masing-masing untuk maklumat selanjutnya.

 

Tambah beliau lagi, AirAsia turut menasihatkan para tetamu yang bakal membuat perjalanan penting untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan, memeriksa semua keperluan perjalanan dan mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi pada setiap masa. 

 

"AirAsia berbangga kerana telah dinilai pada tahap tertinggi oleh laman web Airlineratings.com untuk prosedur COVID-19 yang dinyatakan di laman web, pematuhan pemakaian pelitup muka, pemakaian peralatan perlindungan diri oleh kru kabin, perkhidmatan hidangan dalam penerbangan yang diubah suai, pembersihan pesawat berkala dan lain-lain.

 

"AirAsia akan terus memantau keadaan semasa dan berhak untuk mengumumkan polisi selanjutnya mengikut perkembangan terkini," ujarnya lagi. - DagangNews.com