KUALA LUMPUR 21 Nov - AirAsia memperkenalkan penerbangan terus terbaharunya dari Singapura ke Sibu selepas kejayaan dua laluannya dari Negara Republik itu ke utama bandar di Sarawak.
Syarikat itu akan melakukan penerbangan sebanyak empat kali seminggu untuk laluan itu dan ia dibuat selepas pelancaran laluan Singapura-Kuching dan Singapura Miri pada April 2022.
Penerbangan secara terus ke Singapura dari Sibu itu akan bermula pada 16 Disember 2022 dan ia bertepatan dengan cuti hujung tahun dan sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun hadapan.
Tambang promosi bermula dari serendah S$74 (RM245.32) bagi perjalanan sehala Singapura-Sibu bagi tempahan di Aplikasi Super airasia dan laman web sehingga 27 November 2022 manakala tiket bagi penerbangan pulang Sibu-Singapura bermula dari RM99.
Tempoh promosi penerbangan itu bermula 16 Disember 2022 hingga 28 Mac 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, sejak pengumuman laluan itu, pihaknya menerima sambutan menggalakkan terutama daripada komuniti perniagaan, penduduk dengan keluarga yang tinggal di negara jiran itu serta pelancong.
Katanya, ia adalah laluan yang ditunggu-tunggu oleh ahli perniagaan dan pihaknya gembira bekerjasama dengan Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak Singapura (Statos) serta Kementerian Pengangkutan Sarawak, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan Sarawak, Lembaga Pelancongan Sarawak dan semua pihak berkepentingan bagi menjayakan laluan ini.
"Kami akan meningkatkan penerbangan Singapura-Kuching kami kepada 11x seminggu dan Singapura-Miri 5x seminggu mulai Disember 2022.
"Bersama-sama dengan penerbangan Singapura-Sibu 4x mingguan, kami adalah syarikat penerbangan yang mempunyai ketersambungan terbesar antara Singapura dan Sarawak," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Statos, Chew Chang Guan berkata, pihaknya gembira dengan kerjasama itu dalam merealisasikan visi mereka untuk menjadi pintu masuk utama bagi perdagangan, pelaburan dan pelancongan Sarawak dengan Singapura.
.
"Pengenalan laluan Singapura-Sibu oleh AirAsia adalah tepat kerana kami bekerja keras dengan semua pihak berkepentingan untuk menyusun strategi dalam menjadikan Sarawak destinasi pilihan untuk pelancongan dan perniagaan," katanya. - DagangNews.com