AirAsia tambah kekerapan penerbangan Kuching ke Sibu mulai 1 Ogos | DagangNews Skip to main content

AirAsia tambah kekerapan penerbangan Kuching ke Sibu mulai 1 Ogos

KUALA LUMPUR 9 Julai - Kekerapan penerbangan syarikat AirAsia Bhd. daripada Kuching-Sibu akan ditingkatkan tiga kali ganda dalam sehari bermula 1 Ogos ini.

Kekerapan tersebut ditambah ekoran permintaan Kementerian Pengangkutan Sarawak.

Menteri Pengangkutan Negeri berkenaan, Datuk Lee Kim Shin berkata, AirAsia telah bersetuju untuk dengan permintaan tersebut dan akan meningkatkan kekerapan penerbangan harian mereka.

"Kami mendapat maklum balas daripada orang ramai bahawa kekerapan penerbangan antara Kuching dan Sibu sangat terhad dan menyebabkan kesulitan kepada mereka.

"Disebabkan masalah tersebut, kementerian telah memaklumkan kepada pihak AirAsia pada 2 Julai lalu bagi meningkatkan kekerapan laluan tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

AirAsia

Jumlah kekerapan baharu itu akan ditingkatkan kepada 21 penerbangan pada setiap minggu bermula pada Ogos depan.

Jelas Lee lagi, AirAsia juga turut menambah kekerapan kepada dua penerbangan pada setiap hari pada 17, 19, 24, 26, 29, 30 dan 31 Julai ini.

Susulan peningkatan tersebut, beliau menyeru semua penumpang agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan Majlis Keselamatan Nasional dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di negeri berkenaan.

"Saya percaya dengan peningkatan kekerapan penerbangan ini akan dapat membantu mempercepat proses pemulihan ekonomi negeri khususnya bagi industri pelancongan domestik.

"Bagi pihak kerajaan negeri, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada AirAsia dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia di atas maklum balas yang diberikan terhadap permintaan tersebut," jelasnya dalam kenyataan yang sama. - DagangNews.com