KUALA LUMPUR 20 Julai - Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia sekali lagi memberi tawaran diskaun hebat hingga 50% bagi setiap pembelian tambang penerbangan pulang dalam negara.
Tawarkan itu dibuat susulan peningkatan permintaan perjalanan udara daripada pelanggannya.
Ketua Komersial AirAsia, Amanda Woo berkata, tinjauan pasaran syarikatnya menunjukkan permintaan perjalanan yang semakin meningkat sebaik sahaja status penularan COVID-19 yang bertambah baik.
“Carian penerbangan di laman web kami juga telah meningkat lebih daripada 150% sejak kami memasuki fasa PKPP.
“Kami turut meningkatkan kekerapan penerbangan domestik untuk memenuhi permintaan. Kami akan terus meningkatkan kapasiti dan melancarkan lebih banyak tawaran menarik supaya semua orang boleh terbang dengan tambang berpatutan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tawaran tersebut disediakan bagi mana-mana penerbangan domestik yang ditempah antara 20 hingga 24 Julai 2020 bagi tempoh perjalanan dari 4 Ogos hingga 6 Disember 2020.
Pelanggan juga boleh menggunakan akaun kredit bagi menebus tawaran penerbangan tersebut.
“Pelanggan juga boleh menikmati lebih penjimatan dengan pakej penerbangan dan hotel melalui SNAP. Tambang penerbangan pergi balik berserta hotel selama 3 hari 2 malam tersedia dengan harga serendah RM249 untuk seorang dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang.
“Antara hotel yang boleh ditempah di Pulau Pinang termasuklah Vouk Hotel Suites, Cititel Penang, Tropics Eight Suites dan banyak lagi,” jelasnya.
Pada Ogos, AirAsia menjadualkan lebih 30% kekerapan tambahan penerbangannya dengan jumlah lebih 600 penerbangan mingguan ke 16 destinasi di Malaysia berbanding bulan Julai.
70% daripada jumlah tersebut adalah tujuan penerbangan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak disamping Kota Kinabalu, Kuching dan Tawau sebagai destinasi teratas.
Jelas Woo lagi, AirAsia juga menawarkan perkhidmatan yang lebih fleksibel bagi pelanggan yang melakukan perjalanan hingga 31 Disember 2020.
“Pelanggan ini akan diberi kelebihan untuk mengubah tarikh penerbangan mereka dengan mudah pada bila-bila masa tanpa bayaran pertukaran penerbangan.
“AirAsia juga menyediakan prosedur tanpa sentuhan dan siri langkah keselamatan baharu termasuk mereka yang berisiko tinggi bagi menjamin keselamatan penumpang,” katanya. - DagangNews.com